- Iklan -
Berita

Mampukah Anthony Loke kikis persepsi ‘chauvinis’ DAP?

Pemerhati berkata beliau lebih muda dan 'lembut' berbanding pimpinan parti pembangkang yang lain.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke. Gambar: Bernama
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke. Gambar: Bernama

Nama Democratic Action Party atau DAP sejak sekian lama sukar mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Melayu apabila ia sering digambarkan sebagai parti yang terlalu pro kepada masyarakat Cina, terutama isu-isu yang sensitif seperti bahasa dan pendidikan sehingga dianggap sebagai “chauvinis”.

Meskipun parti itu pernah bekerjasama dengan PAS, Semangat 46, dan Bersatu yang merupakan parti Melayu, DAP tidak pernah berjaya dalam usahanya menawan Putrajaya kecuali pada 2018 ketika Pakatan Harapan (PH)  diketuai Dr Mahathir Mohamad.

Faktor Mahathir dan Bersatu yang dianggotai oleh bekas ahli-ahli Umno seperti Muhyiddin Yassin yang menentang Najib Razak dalam isu 1MDB dikatakan mampu menarik sejumlah sokongan Melayu terhadap PH walaupun dengan adanya DAP.

DAP pada Ahad melantik setiausaha agung baru, Anthony Loke yang juga ahli Parlimen Seremban bagi menggantikan menggantikan Lim Guan Eng.

Walaupun Lim kini menjawat jawatan pengerusi, di dalam DAP, jawatan setiausaha agung merupakan yang paling berkuasa.

Kedua-dua Loke dan Lim dilihat berbeza personaliti.

Bekas menteri kewangan itu disifatkan sebagai seorang yang lantang manakala Loke yang juga bekas menteri pengangkutan kelihatan lebih santai.

Selain itu, penguasaan bahasa kebangsaan Loke juga lebih baik daripada sesetengah pemimpin utama DAP, sekali gus boleh merapatkan jurang antara parti itu dengan orang-orang Melayu.

Namun mampukah personaliti Loke mengubah persepsi negatif terhadap dalam kalangan masyarakat Melayu dan parti-parti Melayu?

Ketua Pemuda Umno Seremban Zool Amali Hussin berkata, personaliti bukan isunya.

“DAP tetap DAP. Sama sahaja pemahaman mereka,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, ideologi parti itu tidak akan berubah walau siapapun tokohnya.

“Rakyat Malaysia dah bagi mereka peluang jadi kerajaan pusat, pun dia masih tak boleh mengubah persepsi orang Melayu,” katanya.

Zool mendakwa tiada yang luar biasa jika melihat prestasi Loke sebagai ahli Parlimen Seremban.

Loke lebih lembut

Bagaimanapun, wartawan veteran G Manimaran berkata, personaliti Loke yang lebih lembut boleh meluaskan lagi penerimaan parti itu dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Ini kerana katanya Loke merupakan pemimpin generasi ketiga dan dianggap sebagai muka baru yang diangkat sebagai pemimpin utama DAP.

“Dalam kalangan orang Melayu, dia akan dilihat sebagai pemimpin yang lebih mesra rakyat berbanding pemimpin yang sebelum-sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

Ia turut dipersetujui oleh pemerhati politik, Wong Chin Huat.

Katanya, imej negatif DAP dalam kalangan Melayu akan pudar dengan mengangkat Loke sebagai pemimpin utama.

“Perbezaan umur yang besar akan menarik perhatian pengundi yang inginkan penggantian generasi, termasuk yang Melayu” katanya kepada MalaysiaNow.

Wong berkata, pada usia 44 tahun, Loke sekurang-kurangnya berusia satu generasi lebih muda berbanding ketua parti politik lain seperti Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Muhyiddin dan Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Wong, Lim memasuki Parlimen pada 1986 ketika hubungan kaum ketika itu agak tegang dan imejnya sebagai pejuang agresif Cina terpahat dalam hati orang Melayu.

Katanya ini berbeza dengan Loke yang memasuki Parlimen pada tahun 2008 tatkala lebih ramai Melayu menerima DAP sebagai pembangkang.

“Loke terkenal dengan gaya politiknya yang lebih prihatin, halus dan boleh dibawa berbicara,” katanya.

Namun berhubung impak Loke terhadap kerjasama dengan parti-parti Melayu seperti PAS dan Bersatu bagi membentuk kerjasama, Manimaran berkata keputusan itu tidak bergantung kepada personaliti beliau semata-mata.

“Isu ini harus dilihat secara kolektif dalam gabungan PH. Pendirian dan kerjasama dengan gabungan lain khususnya untuk hadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dilihat sebagai dasar kolektif bukan hanya personaliti.”

Wong berkata, meskipun ahli Parlimen Seremban itu mempunyai hubungan yang baik dengan sesetengah pemimpin-pemimpin Bersatu dan PAS, ia tidak bermakna DAP akan mendukung “khemah besar” yang merangkumi PH dan Perikatan Nasional (PN).

“Ini kerana penyokong DAP tidak berbudaya wala, mereka tidak akan tiba-tiba memeluk Bersatu dan PAS semula atas arahan pemimpin setelah kian lama bermusuhan.”

Bagi Zool, tiada prospek yang boleh dibayangkan antara DAP dengan Umno.
“Umno tetap akan cuba merampas kerusi Seremban daripada Anthony Loke.
“Kami ada strategi-strategi kami,” katanya.
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.