- Iklan -
Berita

19 anggota polis Cheras positif Covid-19

IPD Cheras masih beroperasi seperti biasa dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP), yang ditetapkan kerajaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi

Seramai 19 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras disahkan positif Covid-19, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata terdapat sebahagian daripada anggota dari IPD Cheras yang masih menunggu keputusan secara berperingkat, daripada pegawai kesihatan daerah.

“Walaupun mereka (19 anggota positif Covid-19), operasi balai dan IPD Cheras tetap berjalan seperti biasa dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP), yang ditetapkan kerajaan,” katanya kepada Bernama.

Dalam perkembangan berasingan Saiful Azly berkata, sebanyak 29 sekatan jalan raya dilakukan di sekitar ibu negara dan Putrajaya, susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula 12.01 tengah malam ini.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 12.01 tengah malam 14 Oktober (tengah malam ini) hingga 27 Oktober.