- Iklan -
Berita

Najib sahkan kerjasama dengan Anwar

Najib berkata, Umno perlu terbuka bekerjasama dengan Anwar sekiranya tidak berpuas hati dengan layanan PN.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Kenyataan Najib malam ini mengesahkan dakwaan bekerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Kenyataan Najib malam ini mengesahkan dakwaan bekerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Bekas perdana menteri, Najib Razak yang sedang berdepan dengan pelbagai pertuduhan rasuah di mahkamah mengakui mencadangkan kerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam mesyuarat ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini.

Najib berkata, beliau mencadangkan kerjasama dengan Anwar sekiranya Umno tidak berpuas hati dengan layanan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Umno perlu terbuka kepada rundingan dengan parti-parti politik lain termasuk parti Anwar jika Umno masih tak berpuas hati dengan layanan dalam kerajaan PN selepas apa yang berlaku di Sabah,” kata Najib dalam tulisan di Facebook malam ini.

“Namun, cadangan saya ada syarat bahawa kerjasama dengan Anwar tidak akan melibatkan parti DAP. Ini ditegas beberapa kali dalam mesyuarat hari ini.”

MalaysiaNow melaporkan hari ini cadangan Najib untuk bekerjasama dengan Anwar dan DAP ditolak majoriti ahli-ahli Parlimen BN dalam mesyuarat di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur.

Pada 16 Oktober, MalaysiaNow mendedahkan kedua-dua pemimpin terpalit dakwaan rasuah, Najib dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menulis surat kepada Agong, sebelum Anwar ke Istana Negara pada 13 Oktober.

Kedua-dua Najib dan Zahid masih belum menafikan berhubung dakwaan mereka menulis surat kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk menggulingkan Muhyiddin dan menabalkan Anwar sebagai perdana menteri.

Najib berkata, tidak ada masalah bagi Umno bekerjasama dengan Anwar sepertimana bekerjasama dengan Muhyiddin dan Mohamed Azmin Ali pada Februari untuk menubuhkan kerajaan PN.

“Saya lihat kita boleh bekerjasama dengan Muhyiddin dan Azmin pada bulan Februari lalu walaupun pada masa itu PPBM (Bersatu) merupakan musuh kita yang banyak mengambil ahli-ahli Parlimen Umno, kenapa kita tidak boleh runding dengan Anwar untuk bekerjasama bersyarat sehingga PRU15?” tulis Najib.

Najib berkata, banyak syarat boleh diberikan kepada Anwar seperti Umno mengambil peranan dalam hala tuju kewangan dan ekonomi.

“Melihat pada masa kini PPBM memonopoli jawatan PM, menteri kanan yang paling kanan, menteri kewangan, menteri ekonomi dan Majlis Tindakan Ekonomi tanpa sebarang wakil dari parti Umno, PAS atau mana-mana parti lain.

“Dengan ini kita boleh merangka pelan bantuan dan rangsangan ekonomi yang lebih effektif seperti melanjutkan moratorium pinjaman serta mempercepatkan pakej bantuan khusus untuk Sabah yang amat diperlukan segera tetapi gagal dikeluarkan sejak sebulan dahulu walaupun impak kepada Sabah pada masa kini adalah amat parah.”

Bagaimanapun tulisan Najib di Facebook kali ini mengundang kecaman hebat pengikutnya.

Antaranya seperti Mohd Fauzi yang berkata: “Sudahlah Dato’ Sri! Apa pun alasan sekalipun semuanya kerana rebutkan kuasa! Sedarlah bahawa mati itu pasti!

“Yang dibawa bukan kuasa tapi hanya cebisan kafan yang tidak ada harga! Di saat kamu merasakan kamu berkuasa tapi sedarlah bahawa tetap ada Yang Maha Kuasa! Belajarlah daripada sejarah terdahulu! Semuanya binasa!”

Sementara Joseph KJ pula berkata: “Lidah bercabang. Kejap sokong darurat kejap tidak. Kejap sokong A kejap sokong B, semua untuk kepentingan diri. Bila tak dapat apa yang dihajatkan lari sokong lain pula.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.