- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen perlu sokong Belanjawan 2021, titah Agong

Sokongan padu diperlukan demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Gambar: AFP
Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Gambar: AFP

Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menasihati semua ahli Dewan Rakyat untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

Sultan Abdullah dalam satu kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Agong menegaskan belanjawan yang akan dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini, adalah amat penting kepada Kerajaan, khususnya kepada para petugas barisan hadapan.

Ia adalah untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha-usaha membendung dan menangani ancaman pandemik daripada terus merebak.

“Seri Paduka Bangida menyeru Ahli-ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat untuk mereka memberhentikan segera segala perbalahan politik dan sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya belanjawan diluluskan tanpa sebarang gangguan,” kata kenyataan itu.

Agong juga berkata sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing akan merugikan negara dan seluruh rakyat akan menjadi mangsa pada ketika negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman wabak Covid-19.

Sultan Abdullah bertitah demikian selepas menerima mengadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.

Ia adalah untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha-usaha membendung dan menangani ancaman pandemik daripada terus merebak.

“Agong turut menzahirkan harapan agar Belanjawan 2021 ini memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat,” katanya lagi.

Pada Ahad lepas MalaysiaNow melaporkan, Sultan Abdullah bertitah tiada keperluan untuk mengadakan darurat seperti yang dipohon perdana menteri.

Keputusan itu diambil setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.

Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan penuh kemampuan Muhyiddin untuk menerajui kepimpinan negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.