Kedai-kedai perkakasan kecil merupakan satu pemandangan yang tidak asing, di hadapan kedai dipenuhi tong-tong cat dan gulungan dawai, tangga serta peralatan berkebun yang disusun rapi di bahagian tepi.
Sejak beberapa generasi penampilan mereka kekal sama, kemunculan rangkaian peruncitan perkakasan memaksa mereka keluar daripada zon selesa perniagaan tradisional dan masuk ke dalam urus niaga dalam talian.
Dalam tempoh beberapa tahun ini, muncul nama-nama besar dalam industri itu, yang disokong strategi pemasaran menarik, program penghargaan dan harga “rendah”. Jenama tempatan seperti Mr DIY berjaya mendahului dan duduk sebaris dengan jenama antarabangsa seperti Ace Hardware.
Ia memberi saingan sengit kepada kedai-kedai perkakasan tradisional, yang selama beberapa dekad memenuhi keperluan pelanggan yang memerlukan tukul dan paku, paip ganti untuk sinki dapur atau sebatang penyapu baru.
Kedai rangkaian perkakasan besar dengan sumber yang pelbagai memiliki kelebihan berbanding perniagaan kecil yang berusaha beralih ke dalam talian.
Ong Kok Weng menjalankan perniagaan dalam bidang itu sudah hampir satu dekad. Dia pernah mencuba untuk berubah tetapi terbantut disebabkan tugas-tugas menguruskan platform beli-belah dalam talian.
Masalah yang timbul bukan kerana memproses pesanan dan menghantar barang, katanya kepada MalaysiaNow. Sebaliknya, ia lebih kepada kemahiran teknikal dan celik computer diperlukan untuk sentiasa berada dalam talian.
Bagi Lee Han Shyang, yang memiliki kedai di Shah Alam, kesukaran yang timbul adalah persaingan harga yang ditawarkan dalam talian.
“Saya ada menjual produk secara dalam talian,” katanya, “tetapi sambutan daripada pelanggan kurang memberangsangkan”.
“Pelanggan yang menggunakan platform e-dagang kebiasaannya akan mencari tawaran terbaik dengan harga terendah. Tetapi produk harga rendah tidak berkualiti jika dibandingkan dengan yang lebih mahal dan berkualiti tinggi.”
Ini mungkin menyebabkan dia kalah secara dalam talian, namun semuanya berbeza jika dibandingkan dengan pelanggan yang hadir ke kedainya, kebanyakan daripada sektor pembinaan dan perindustrian yang mementingkan kualiti.
“Kami membekalkan barangan ke kilang-kilang dan pelanggan dari tapak-tapak pembinaan serta produk perkakasan untuk kegunaan di rumah,” kata Lee kepada MalaysiaNow.
“Oleh itu, kami perlu memastikan produk yang dijual berkualiti.”
Seorang pengurus sebuah kedai lain di Shah Alam yang tidak ingin dinamakan mengatakan kedai-kedai tradisional terus berkembang kerana kebanyakan pelanggan lebih gemar singgah sekejap tanpa perlu melalui seluruh pusat beli-belah.
Buat masa ini, kedai bata dan mortar mungkin dapat bertahan walaupun digitalisasi semakin hari semakin bertambah pengikut, terutama dalam tempoh pandemik Covid-19 yang menyebabkan banyak perniagaan beralih ke platform dalam talian kerana jangkitan menghadkan urusan secara bersemuka.
Dan, seperti yang diberitahu Ong yang merupakan orang lama dalam perniagaan ini kepada MalaysiaNow, ada masalah lain yang mungkin perlu diatasi segera, pertamanya kemerosotan ekonomi.
Tetapi seperti yang peniaga kedai perkasasan memahaminya, tidak semua perkara mudah dibaiki.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.