Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein memberi peringatan kepada kepimpinan tertinggi Umno supaya tidak bertindak bersandarkan emosi menjelang mesyuarat Majlis Kerja Tertingg (MKT) malam ini bagi menentukan keputusan cadangan untuk keluar daripada blok Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Sembrong itu mengatakan, pemimpin Umno perlu mengambil iktibar daripada pilihan raya 2018 selepas kehilangan 54 kerusi kepada Pakatan Harapan (PH), menyebabkan BN kalah selepas enam dekad memerintah negara.
“Tambahan, kita masih berperang dengan Covid-19. Kes harian masih tinggi. Negara juga sedang dilanda banjir. Ekonomi juga sedang dipulihkan. Jumlah rakyat yang terkesan semakin meningkat.
“Parti Umno sedang diberi peluang untuk buktikan kepada rakyat bahawa pemimpin kita prihatin, berkemampuan, dan bersungguh-sungguh untuk mengurus krisis dan menitikberatkan kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MKT Umno akan mengadakan mesyuarat malam ini selepas presidennya Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pemimpin yang dikaitkan dengannya akan keluar daripada blok kerajaan, dengan mengatakan hak parti itu diketepikan oleh kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mewakili Bersatu.
Hishammuddin antara 39 ahli Parlimen yang masih bersama Umno.
Katanya beberapa menteri Umno memegang jawatan penting dalam usaha memerangi Covid-19, seperti kementerian pertahanan, kesihatan, sains teknologi dan inovasi yang ditugaskan untuk melaksanakan program pemvaksinan.
Hishammuddin berkata beliau akan patuh kepada keputusan Umno sekiranya diarahkan untuk meletak jawatan dalam Kabinet, tetapi mempersoalkan apa sebenarnya diinginkan partinya itu.
Jika parti berkeputusan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu, parti harus putuskan dengan siapa Umno akan bekerjasama menjelang PRU15.
“Adakah dengan DAP? Adakah dengan PKR? Atau bersendirian?” soalnya.
“Perancangan kerjasama politik Umno harus dibuat dengan teliti kerana pilihan raya bukannya esok,” katanya.
“Kepada ahli MKT yang akan bermesyuarat pada malam ini, biar ahli parti dan rakyat jelas apa sebenarnya Umno inginkan.”