Pemuda Umno Wilayah Persekutuan menyatakan sokongan mereka terhadap desakan agar perubahan dilakukan terhadap pimpinan tertinggi parti, mengatakan pemilihan perlu dilakukan tahun ini untuk menggantikan kepimpinan sedia ada.
Ketuanya, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berkata, Umno bukan sahaja perlu dirombak, tetapi pimpinan tertinggi juga perlu diterima kedua-dua ahli dan rakyat.
“Umno perlu ‘total revamp’. Umno perlukan pasukan ‘Avengers’, pemimpin yang bukan hanya diterima oleh ahli tetapi diterima oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Astro Awani.
Kenyataan ini dikeluarkan ketika dua ketua Pemuda Umno bahagian dari Johor dan Negeri Sembilan mendesak presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi untuk meletakkan jawatan.
Sejak dua hari lalu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Pontian Helmi Buang dan Ketua Pemuda Bahagian Seremban Zool Amali Hussin secara terbuka menggesa Zahid disingkirkan, langkah yang dilihat sebagai penentangan terhadap tindakan presiden parti itu kerana menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan.
Oktober lalu MalaysiaNow mendedahkan butiran surat ke Istana Negara yang ditulis secara bersama oleh Zahid dan bekas presiden Umno, Najib Razak, menyatakan sokongan terhadap percubaan Anwar untuk menjadi perdana menteri melalui pembelotan ahli Parlimen.
Semenjak memenangi jawatan presiden, tidak berapa lama selepas Umno kehilangan kuasa pada pilihan raya umum 2008, Zahid berdepan dengan desakan untuk meletakkan jawatan.
Pada penghujung 2018, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Zahid melepaskan jawatannya, selepas didakwa dengan pelbagai pendakwaan rasuah ketika memegang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri.
Zahid kemudiannya bercuti, tetapi kembali selepas enam bulan walaupun perbicaraan rasuahnya masih berjalan.