Pakatan Harapan (PH) akan mengemukakan tiga nama untuk mengambil bahagian dalam jawatankuasa bebas yang akan ditubuhkan untuk memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong tentang tempoh darurat, kata Anwar Ibrahim.
Pengerusi PH itu berkata, gabungan itu sudah menerima penjelasan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan mengenai jawatankuasa itu.
“Selepas diberi penjelasan mengenai jawatankuasa itu, kita akan kemukakan tiga nama hari ini,” kata pada sidang media secara dalam talian yang disiarkan melalui akaun Facebook.
Tambahnya, keputusan itu diambil pihaknya selepas mengambil kira penubuhan itu merupakan usul yang dikemukakan oleh Agong.
“Tiga orang ahli Parlimen pembangkang dan empat daripada kerajaan tak sama dengan sidang Parlimen, kerana ia usul dan cadangan Agong, kita putuskan untuk beri kerjasama,” katanya.
Katanya setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail sudah menghubungi Takiyuddin sebelum perkara itu diputuskan.
Anwar bagaimanapun berkata, jawatankuasa itu tidak mempunyai kuasa eksekutif tetapi hanya memberikan nasihat dan sidang Parlimen lebih efektif.
Baru-baru ini pengkritik sosial terkemuka, Chandra Muzaffar menggesa pembangkang menyertai jawatankuasa itu, mengatakan tindakan kerajaan menjemput mereka merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku.
“Jawantankuasa itu sendiri selari dengan norma dan prinsip demokrasi. Ia memberikan ruang kepada peranan pembangkang. Pembangkang harus menggunakannya, menyertai dan memberikan pandangan,” kata Chandra kepada MalaysiaNow.
“Jika pembangkang pedulikan rakyat, mereka harus menyertainya dan bukannya mengkritik dari luar.
“Sertai terlebih dahulu. Jika mereka merasakan ia tidak berfungsi, itu cerita lain, tetapi mereka harus beri peluang,” katanya.
Anwar bagaimanapun berkata, tindakan mahkamah yang diambil bukan untuk mencabar pengisytiharan darurat tetapi menuntut sidang khas Parlimen.