- Iklan -
Berita

Bukan untuk menafikan hak penganut Hindu, kata MB Kedah

Penganut Hindu masih boleh menyambut Thaipusam di mana-mana sahaja, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. Gambar: Bernama
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. Gambar: Bernama

Keputusan kerajaan negeri Kedah untuk tidak mengumumkan cuti peristiwa sempena perayaan Thaipusam pada 28 Januari ini, bukan berniat menafikan hak penganut Hindu di negeri ini.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penganut agama berkenaan masih boleh menyambut perayaan itu di mana-mana sahaja, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19 yang telah ditetapkan.

“Semua orang sedang ‘dicutikan’ akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Selama ini pun Kedah tak cuti Thaipusam melainkan dua tahun terakhir yang dijadikan cuti peristiwa, bukan cuti umum rasmi negeri Kedah.

“Keputusan Kedah tiada kaitan dengan niat atau bertujuan mengetepikan hak sesiapa pun di negeri ini. Sewaktu tiada cuti peristiwa untuk Thaipusam di Kedah sejak sebelum (negara) merdeka lagi, ia tetap disambut dengan bebas dan meriah di Kedah,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Semalam, Sanusi pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajan negeri menyatakan bahawa tiada cuti peristiwa untuk Kedah bagi perayaan Thaipusam pada tahun ini, susulan situasi semasa berkaitan Covid-19.

Keputusan itu kemudian mendapat kecaman beberapa pemimpin politik khususnya Menteri Sumber Manusia yang juga Timbalan Presiden MIC M Saravanan, yang dilaporkan menganggap ia sebagai berat sebelah selain Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy, yang menyifatkannya sebagai melampau.

Mengulas perkara itu, Sanusi berkata isu tersebut sepatutnya tidak dijadikan modal politik, memandangkan negara kini berdepan isu yang lebih besar iaitu pandemik Covid-19 yang tidak diketahui bila akan berjaya diatasi.

“Kita ada PKP dan Ordinan Darurat yang sedang berkuat kuasa. Apa-apa perayaan boleh disambut dengan mematuhi SOP dalam serba sederhana. Jangan politikkan semua perkara. Ini soal keselamatan dan nyawa seluruh rakyat Malaysia.

“Jika beberapa orang dalam MIC mahu cuti umum sempena Thaipusam, mereka boleh melobi kerajaan persekutuan mengumumkan cuti umum untuk seluruh negara. Kedah sudah ada keputusan dalam hal ini,” katanya.