- Iklan -
Berita

Selangor akan lancarkan semula aplikasi pengesanan kontak SELangkah

Tindakan itu dilakukan selepas aplikasi SELangkah menerima beberapa penambahbaikan.

Fadila Awaludin
2 minit bacaan
Kongsi
Aplikasi SELangkah yang dibangunkan oleh Selangkah Ventures. Gambar: Facebook
Aplikasi SELangkah yang dibangunkan oleh Selangkah Ventures. Gambar: Facebook

Selangor akan melancarkan semula aplikasi pengesanan kontak SELangkah, ketika jangkitan harian Covid-19 terus mencatatkan angka tertinggi.

Selangkah Ventures, syarikat yang membangunkan SELangkah berkata, sudah beberapa kali penambahbaikan dilakukan terhadap aplikasi itu menyebabkan ia perlu dilancarkan semula.

“Aplikasi ini akan dilancarkan semula nanti. Jadi pada pandangan saya adalah lebih baik sekiranya sebarang kenyataan terhadap aplikasi ini dilakukan selepas dilancarkan,” kata Tengku Iesta Tengku Alauddin, ketua pegawai operasi Selangkah Ventures kepada MalaysiaNow.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang penjelasan lanjut berhubung perkara itu.

Dr Helmi Zakariah yang membangunkan aplikasi SELangkah mengesahkan perkara itu tetapi turut tidak mahu memberikan penjelasan lanjut.

“Saya fikir akan ada kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan mengenai perkara itu nanti,” katanya kepada MalaysiaNow.

Semalam sebanyak 4,284 kes baru Covid-19 dikesan, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 226,912 dan Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,572 kes diikuti Johor 964 dan Kuala Lumpur 651 kes.

MalaysiaNow melaporkan sebelum berhubung persoalan yang timbul berhubung aplikasi SELangkah selepas kes jangkitan harian Covid-19 di negeri itu terus mencatatkan angka tertinggi.

Dua aplikasi timbulkan kekeliruan

Sejak Covid-19 mula dikesan dalam negara tahun lalu, Putrajaya melancarkan aplikasi MySejahtera pada April 2020 bagi memudahkan pengesanan kontak.

Sebulan selepas itu, Selangor turut melancarkan aplikasi SELangkah yang mempunyai fungsi sama.

Suzilawati Senin yang bekerja dengan sebuah syarikat yang membangunkan aplikasi berkata, untuk menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi pengesanan kontak agak sukar, apa lagi sekiranya mempunyai dua aplikasi berbeza.

“Kesedaran rakyat Malaysia dalam menggunakan aplikasi pengesanan kontak masih rendah kerana masih ada individu yang disaman kerana gagal berbuat demikian.

“Penggunaan satu aplikasi sahaja masih belum cukup untuk memastikan mereka ini patuh arahan, jadi apa akan berlaku sekiranya wujud sebuah lagi aplikasi sama,” soalnya apabila dihubungi MalaysiaNow.

Suzilawati berkata pada peringkat awal pelancaran, MySejahtera tidak mendapat sambutan memberangsangkan sehinggalah kerajaan  mengumumkan pembayaran RM50 e-dompet bagi sesiapa yang memuat turun aplikasi tersebut.

Sementara Ismail Sualman dari fakulti komunikasi dan pengajian media UiTM berkata, tindakan mewujudkan sebuah lagi aplikasi bukanlah mempunyai unsur politik.

Sebaliknya perkara itu bertujuan untuk membantu memudahkan kerajaan persekutuan memastikan jumlah penduduk yang menetap di Selangor.

“Sebilangan daripada mereka mempunyai alamat tetap berbeza berbanding alamat di dalam kad pengenalan. Jadi dengan wujudnya aplikasi ini, kita dapat mengenal pasti individu yang menetap di Selangor.

“Ini juga membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam usaha bersama-sama kerajaan persekutuan mengekang penularan wabak Covid-19 ini. Jika ini dipanggil permainan politik, pastinya tidak kerana pelbagai lagi cabang wadah yang mereka boleh gunakan untuk berpolitik,” kata Ismail dan menambah setiap negeri perlu memiliki aplikasi pengesanan kontak masing-masing.