Menjelang sambutan Tahun Baru Cina yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, sebuah keluarga di negeri terkaya Malaysia, Selangor hanya mampu berharap agar bumbung rumah usang yang didiami mereka tidak runtuh.
Disebabkan ketua keluarganya yang tidak dapat bekerja selepas diserang angin ahmar tiga tahun lalu, Koo Yok Kion, 53, terpaksa mencari rezeki dengan pendapatan kecil sebagai pembantu dapur yang sudah pasti tidak mencukupi untuk membaiki bumbung rumah mereka yang hampir runtuh di Kampung Baru Ampang, Selangor.
“Dinding kayu rosak dimakan anai-anai. Bumbung zink yang berkarat dengan sebahagian besarnya sudah tercabut dan berada dalam keadaan bahaya sejak bertahun-tahun lalu,” kata Koo kepada MalaysiaNow.
“Keadaan jadi lebih teruk apabila hujan. Air semua akan masuk dalam rumah melalui celah-celah atap yang sudah runtuh ini.”
Sebagai pembantu dapur Koo hanya memperolehi RM40 sehari dan perlu mengayuh basikal sejauh 5km.
Tiga tahun lalu, suaminya Chin Kim Choy, 63, yang sebelum ini bekerja sebagai tukang kayu diserang angin ahmar.
“Selepas saya kena strok saya tak boleh berjalan tanpa ini tongkat dan mata saya juga sudah tidak berapa nampak, mungkin juga sebab saya ada sakit jantung,” kata Chin kepada MalaysiaNow ketika berkunjung ke rumah keluarga ini.
Pasangan ini mempunyai seorang anak lelaki Chin Kok Ming yang berusia 13 tahun.
Koo dan Chin mengharapkan anaknya akan mempunyai masa depan yang lebih baik memandangkan Kok Ming berjaya mendapat semua A dalam peperiksaannya sebelum ini.
Setiap hari, Chin dan anak lelakinya hanya mampu makan biskut pada waktu pagi dan tengah hari sementara menunggu Koo pulang dari bekerja.
“Makan semua cukup. Kami sudah biasa hidup macam ini. Tapi saya rayu bantulah baiki bumbung rumah saya sebelum ia betul-betul runtuh,” kata Chin kepada MalaysiaNow.
Untuk makan malam, tiga anak beranak ini akan makan lebihan makanan yang tidak habis dijual di tempat kerja Koo.
Hanya satu bilik yang boleh digunakan
Rumah usang ini mempunyai empat buah bilik akan tetapi hanya satu yang boleh digunakan dan di situlah ketiga-tiga anak beranak ini tidur.
“Tahun lepas anak saya kena demam denggi berdarah mungkin disebabkan nyamuk gigit, sebab pintu semua tak boleh tutup dan bumbung juga pecah macam ini.
“Saya sangat sedih lihat anak saya sakit. Tapi saya tidak mampu untuk baiki rumah ini. Gaji saya perlu bayar bil elektrik, air, dan beli ubat untuk suami saya,” katanya.
Rumah yang merupakan peninggalan daripada mendiang ibu Chin yang tinggal di situ bersama lima adik beradik perempuannya sejak 60 tahun lalu, kini hanya menunggu masa runtuh.
“Adik saya seorang sudah meninggal, manakala empat lagi perempuan semua sudah pindah bila rumah kami semakin teruk,” kata Chin sambil berlinang air matanya kerana gagal memainkan peranan sebagai ketua keluarga.
Chin sangat risau bumbung rumahnya akan runtuh sekiranya hujan lebat dan angin kuat sehingga mencederakan isteri dan anaknya memandang sambutan Tahun Baru Cina tinggal beberapa hari lagi.
“Saya tidak mahu bantuan lain. Kami masih boleh hidup seperti orang lain.
“Makan semua cukup. Kami sudah biasa hidup macam ini. Tapi saya rayu bantulah baiki bumbung rumah saya sebelum ia betul-betul runtuh,” kata Chin kepada MalaysiaNow.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.