Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan kegiatan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai mereka selepas berjaya memperdaya lebih 18 mangsa melibatkan jumlah kerugian lebih RM600,000.
LHDN dalam satu kenyataan hari ini berkata kesemua kes itu dikesan sejak 1 Januari hingga 9 Februari tahun ini.
“Jumlah keseluruhan kerugian yang dilaporkan adalah RM636,311 dengan kesemuanya merupakan kes penyamaran sebagai pegawai LHDN”.
Menurut LHDN, sindiket tersebut menggunakan taktik keji dengan menakut-nakutkan mangsa menyebabkan mangsa menjadi panik.
“Mangsa kemudiannya mengambil tindakan terburu-buru dengan menyerahkan butiran peribadi dan perbankan, malah ada yang secara sukarela membuat bayaran wang tunai kepada ahli sindiket”.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dan jangan mudah terpedaya serta lakukan pengesahan dengan LHDN terlebih dahulu terhadap setiap panggilan, e-mel mahupun surat yang meragukan.
Orang ramai boleh menghubungi talian Hasil Care Line atau talian pegawai yang boleh disemak senarainya pada portal rasmi www.hasil.gov.my atau hadir ke cawangan LHDN berhampiran.