- Iklan -
Berita

Cabaran keluarga anak ramai, kekurangan gajet mengikuti PdPR

Namun, ia tidak melemahkan semangat ibu bapa yang tidak mahu anak-anak mereka ketinggalan dalam pelajaran.

Fadila Awaludin
2 minit bacaan
Kongsi
Norilla Mustafa Al-Bakri, mengajar anaknya, Muhammad Danish Irfan, 10, (kanan) ketika ditemui MalaysiaNow di rumahnya di Flat Seri Semarak, Jalan Air Keroh, Kuala Lumpur.
Norilla Mustafa Al-Bakri, mengajar anaknya, Muhammad Danish Irfan, 10, (kanan) ketika ditemui MalaysiaNow di rumahnya di Flat Seri Semarak, Jalan Air Keroh, Kuala Lumpur.

Kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) yang digunapakai bagi memastikan murid dapat meneruskan sesi persekolahan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang Covid-19, menyukarkan golongan kurang berkemampuan.

Tetapi ini tidak melemahkan semangat ibu bapa yang tidak mahu anak-anak mereka ketinggalan dalam pelajaran, walaupun hidup dalam serba kekurangan.

Contohnya seperti pasangan Shaifol Bahri Mustaffa Kamalluddin, 52, dan Norilla Mustafa Albakri, 49, yang tetap berusaha memastikan lima anak dan dua cucu mengikuti sesi PdPR walaupun tidak mempunyai kelengkapan yang cukup.

“Bagi anak-anak sekolah menengah mereka memiliki telefon sendiri manakala sekolah rendah pula perlu berkongsi telefon milik saya dan isteri selain digunakan secara bergilir-gilir,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow.

“Kadang-kala mereka akan menggunakan telefon saya atau isteri. Sekiranya saya bekerja, maka telefon isteri dan sebuah telefon hasil sumbangan akan digunakan mereka untuk belajar.

“Kadang-kala ada sesetengah tidak dapat diikuti kerana tak cukup telefon. Semua kelas mula serentak jadi kami bahagikan masa untuk mereka antara satu atau dua jam seorang”.

Tiga daripada anaknya merupakan pelajar sekolah menengah manakala yang lain-lain dan dua cucunya masih berada di bangku sekolah rendah.

Shaifol memperuntukkan RM500 sebulan bagi menampung kos elektrik dan internet bagi membolehkan ketujuh-tujuh mereka mengikuti PdPR.

Shaifol berkata, kelas yang diadakan serentak menjadi antara kekangan mengikuti pembelajaran PdPR dan mereka lebih selesa mengikuti kelas secara fizikal kerana lebih fokus dan mudah untuk berkomunikasi.

Bagaimanapun disebabkan PKP masih dilaksanakan, murid masih tidak dibenarkan untuk ke sekolah seperti biasa kecuali bagi mereka yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM).

Shaifol yang sebelum ini bekerja di sebuah hotel di Kuala Lumpur perlu akur apabila pendapatannya dikurangkan sebanyak 60% menyebabkannya tidak mampu menyediakan kelengkapan PdPR untuk anak dan cucunya.

Bagaimanapun dia bernasib baik apabila memperolehi sumbangan tablet daripada pendakwah Ebit Lew dan sebuah telefon pintar sumbangan Yayasan YTL.

Muhammad Danish Irfan, mengikuti kelas PdPR melalui telefon pintar ibunya.

Kos sara hidup tinggi

Bergantung dengan gaji lebih kurang RM1,400 sebulan, Shaifol perlu menampung kos pembelanjaan keperluan rumah 10 orang anak dan empat orang cucu menjadikan jumlah seramai 16 orang termasuk isteri tinggal dalam satu rumah projek perumahan rakyat (PPR) Seri Semarak di Jalan Ayer Keroh, Kuala Lumpur.

Bahagian ruang tamu rumah tidak diletakkan dengan sebarang perabot kerana menjadi tempat tidur buat mereka sekeluarga pada sebelah malam.

Memiliki anak berumur di antara 28 tahun hingga 10 tahun, Shaifol mengatakan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk berpindah ke tempat lain atau membiarkan anaknya berpindah.

“Sebagai ibu bapa saya sangat mementingkan hubungan keluarga. Saya kalau boleh hendak tinggal satu rumah ramai-ramai kerana lebih seronok. Biarpun sudah besar mereka tetap ingin tinggal bersama kami.

“Berpindah itu tidak dan biarlah kami tinggal di sini. Lagipun buat apa mahu menambah hutang lagi. Biar kami tinggal di sini saja,” jelasnya.

Sementara itu, Norilla yang tidak bekerja membantu meringankan beban suami dengan mengambil upah membuat kuih dan jajan untuk dijualkan kepada penduduk sekitar.

“Setiap petang kanak-kanak akan membeli keropok, minuman dan gula-gula. Sedikit sebanyak hasil jualan itu dapat membantu keluarga.

“Kawan anak-anak juga selalu datang membeli di sini kerana anak-anak sering mempromosikan kepada mereka. Cara ini dapat memberikan saya peluang untuk menambah hasil pendapatan selain dapat mendidik anak untuk berdikari,” kata Norilla.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.