- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen PH dalam jawatankuasa khas darurat tetap mahukan sidang Parlimen

Mereka berkata sidang Dewan Rakyat sangat penting untuk memastikan segala agenda dan langkah-langkah untuk membendung Covid-19 dapat dibahaskan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Sidang Dewan Rakyat juga memastikan semak dan imbang terhadap segala keputusan yang dibuat kerajaan. Gambar: Bernama
Sidang Dewan Rakyat juga memastikan semak dan imbang terhadap segala keputusan yang dibuat kerajaan. Gambar: Bernama

Tiga wakil ahli Parlimen pembangkang dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang ditugaskan untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong semasa darurat Covid-19 tetap akan memberikan tekanan agar sidang Dewan Rakyat diadakan.

Mereka berkata sidang Dewan Rakyat sangat penting untuk memastikan segala agenda dan langkah-langkah untuk membendung Covid-19 dapat dibahaskan selain memastikan semak dan imbang terhadap segala keputusan yang dibuat kerajaan.

“Justeru itu, kami akan menyampaikan pandangan ini secara konsisten di mesyuarat Jawatankuasa Khas Bebas Darurat dan berharap ia akan dipersetujui oleh ahli-ahli jawatankuasa tersebut sebagai pendirian bersama jawatankuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong,” kata kenyataan bersama Saifuddin Nasution Ismail dari PKR, Dzulkefly Ahmad (Amanah) dan Anthony Loke (DAP) hari ini.

Ketiga-tiga ahli Parlimen ini merupakan anggota Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang dianggotai 19 anggota yang ditugaskan untuk menasihati Agong sepanjang darurat pandemik Covid-19.

Semasa memperincikan butiran darurat Covid-19 pada Januari, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata sebuah kerajaan awam dikekalkan meskipun Parlimen digantung untuk menghalang pilihan raya mengejut, dengan semua aktiviti harian dibenarkan.

Muhyiddin turut berjanji akan mengadakan pilihan raya jika Jawatankuasa Khas Bebas Darurat berpendapat keadaan kesihatan awam dapat dikawal.

“Ini komitmen saya yang akan saya tunaikan,” katanya.

Pada 18 Februari lalu, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang dipengerusikan oleh bekas ketua hakim negara, Ariffin Zakaria mengadakan mesyuarat pertama.

Ketiga-tiga ahli Parlimen PH itu berkata, sidanhg Dewan Rakyat boleh diadakan tertakluk kepada segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kementerian kesihatan seperti yang dilaksanakan sepanjang sidang tahun 2020.

“Keputusan untuk mengembalikan persidangan Parlimen juga akan memberikan keyakinan kepada dunia luar dan pelabur asing bahawa Malaysia tetap komited terhadap sistem demokrasi berparlimen dan prinsip kedaulatan undang-undang atau ‘Rule of Law’,” kata kenyataan itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.