Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah bertemu Muhyiddin Yassin beberapa hari selepas pemimpin Bersatu itu dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac tahun lalu bagi merundingkan pertuduhan rasuah yang dihadapi beliau.
Zahid juga datang bertemu dengan Muhyiddin membawa beberapa fail berkait pertuduhan-pertuduhan rasuah, berharap dapat memujuk perdana menteri baru itu bagi membantu beliau membatalkan pertuduhan ke atasnya.
Pertemuan itu berlangsung lewat malam, setelah pertemuan yang lebih besar melibatkan pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara.
“Namun dia balik rumah kecewa, sambil bawa fail-fail itu,” kata satu sumber yang berkata pertemuan rahsia itu berlaku pada minggu pertama Mac 2020
“Ya, dia bawa fail-failnya bersama. Muhyiddin tolak untuk layan permintaannya,” kata sumber itu lagi.
Zahid adalah sebahagian daripada kumpulan yang digelar “kluster mahkamah,” satu gelaran kepada beberapa pemimpin Umno yang menghadapi beberapa pertuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang haram.
Mengenai pertuduhan mahkamah ini, Zahid dan Najib adalah pemimpin Umno yang paling banyak dijatuhi pertuduhan.
Zahid berdepan 47 pertuduhan melibatkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana yayasan miliknya, Yayasan Akalbudi.
Kebanyakan pemimpin Umno yang terlibat dengan kes-kes mahkamah telah menunjukkan penentangan terhadap Muhyiddin.
Awal tahun ini, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan yang dikenakan pertuduhan mengelak cukai sebanyak RM2 juta yang diterima dari Najib menyifatkan rasuah-rasuah tersebut adalah legasi “zalim” kerajaan Pakatan Harapan.
Pertemuan yang berlaku pada Mac 2020 itu dipercayai mencetuskan perbalahan antara Zahid dan Muhyiddin dan kemudiannya memuncak dengan keputusan yang diambil Umno minggu lalu untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
Perhimpunan Agung Umno itu ditumpukan kepada usaha meluluskan cadangan Zahid agar parti itu memutuskan hubungan dengan kerajaan PN pada pilihan raya umum akan datang.
Pada 9 Oktober, Zahid menemui Muhyiddin sekali lagi, sebuah pertemuan yang pernah didedahkan MalaysiaNow
Pertemuan itu berlaku selepas dua hari Zahid dan Najib menulis surat kepada Istana Negara menyatakan sokongan mereka kepada Anwar Ibrahim sebelum presiden PKR itu mengadap Agong bagi menjelaskan bukti beliau memiliki sokongan untuk menjadi perdana menteri.
Zahid kemudian bertemu dengan Muhyiddin pada 17 Oktober, kali ini bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Ahmad Maslan, Takiyuddin Hassan dan Hamzah Zainuddin, setiausaha agung bagi Umno, PAS dan Bersatu.
Menurut butiran yang diberitahu sumber dalaman parti kepada MalaysiaNow, Muhyiddin menyatakan kepada Zahid berhubung rasa tidak gembiranya dengan tindakan presiden Umno itu menzahirkan sokongan kepada Anwar.
Sumber dalaman itu berkata Muhyiddin memberitahu Zahid beliau tidak mahu campur tangan mengenai perkara itu.
“Namun sebagai kawan, dia (Muhyiddin) berkata akan doakan Zahid terlepas daripada pertuduhan tersebut.”