- Iklan -
Berita

Annuar Musa yakin 100% ‘audio perbualan’ bocor Zahid, Anwar tulen

Annuar mengenali rapat kedua-dua pemimpin itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa.
Bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa.

Bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa yakin suara dalam rakaman perbualan yang bocor antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid adalah tulen kerana pengecaman suara itu tidak sukar dilakukan dan beliau mengenali rapat kedua-dua mereka.

“Setakat saya buat pengecaman suara itu, saya pasang 10 kali.

“100% suara tulen bukan orang buat-buat. Ia sangat mengecewakan saya,” kata Annuar.

Menurut Annuar, Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini membuat ketetapan secara sebulat suara bahawa “No DAP, No Awar.”

Namun tidak sampai 24 jam, beliau berkata jelas perkara lain pula yang dilakukan presiden Umno itu.

“Jadi kita dari Umno Bahagian Ketereh sudah beri sokongan, kita sudah di being misled.

“Kita dah bagi sokongan itu, jadi kita rasa nak tarik balik sokongan itu,” katanya.

Beliau turut mendesak Zahid untuk berlaku jujur mengenai perkara itu kepada seluruh ahli Umno dan menasihatkan jangan menyalahkan orang lain.

Annuar berkata sebagai seorang ahli politik mereka perlu menjadi jujur dalam setiap perbuatan yang mereka lakukan.

“Orang politik kene jujur dan berani, tanpa cuba menuduh orang lain. Saya harap presiden berani bertanggungjawab.”

Annuar Musa turut melahirkan rasa syukur pada sidang media hari ini, mengatakan pada ketika ini ahli Umno sendiri sudah dapat menilai dakwaan-dakwaan yang beliau utarakan selama ini.

“Saya rasa sudah makin ramai ahli Umno kini percaya dan memahami perkara sebenar yang saya katakan sebelum ini.

“Alhamdulillah apa yang saya katakan mempunyai bukti yang nyata.”

Semalam, MalaysiaNow mendedahkan sebuah rakaman audio berdurasi empat minit dua pemimpin parti politik itu saling berterima kasih dan menyatakan rasa senang hati selepas perwakilan-perwakilan Umno bersetuju dengan usul Zahid supaya parti itu memutuskan hubungan dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Dalam rakaman itu, Zahid juga turut mengungkapkan terima kasih kerana Anwar memberikan sokongan moral kepadanya.

MalaysiaNow yang menerima rakaman tersebut melalui sumber yang dipercayai boleh mengesahkan suara-suara yang dirakam tersebut adalah tulen milik dua pemimpin parti itu.

Kedua-dua pemimpin parti itu juga turut menafikan perbualan tersebut, dan menghantar pegawai masing-masing untuk melaporkan perkara berkenaan kepada polis.

Dalam pada itu, Annuar berkata Zahid perlu mencontohi bekas perdana menteri Najib Razak yang berani bersumpah ketika pelbagai tuduhan dilemparkan kepada beliau.

Kerana jika sekiranya siasatan polis menunjukkan hasil siasatan yang tidak berpihak kepada mereka, mereka akan dakwa wujud konspirasi pula.

“Saksi itu, mereka berdua yang bercakap dan Allah subhanahu wata’ala sahaja.

“Mungkin juga Zahid dan Anwar boleh pergi ke masjid bersumpah. (Atau) pergi ke masjid Kampung Baru berdua.”