- Iklan -
Berita

PM umum PKP seluruh negara, SOP diperketatkan

Tiada rentas negeri dan daerah dibenarkan selain SOP kesihatan diperketatkan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Polis memperketatkan sekatan jalan raya di sempadan-sempadan negeri yang berada di bawah status PKP.
Polis memperketatkan sekatan jalan raya di sempadan-sempadan negeri yang berada di bawah status PKP.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara, selain prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan selepas lonjakan berterusan jangkitan Covid-19.

Dalam kenyataan hari ini Muhyiddin berkata, kerajaan memutuskan mengambil langkah-langkah yang lebih tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam masyarakat dan menghalang kenaikan kes secara mendadak.

Katanya, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai pengurusan Covid-19 yang dipengerusikannya.

“Larangan rentas daerah dan rentas negeri kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh,” katanya.

Larangan rentas daerah dan negeri bermula pada 10 Mei hingga 6 Jun manakala SOP lain akan berkuatkuasa pada 12 Mei hingga 7 Jun.

Semua bentuk perhimpunan sosial termasuk kendurikendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis doa selamat dan tahlil, majlis makan malam, majlis sambutan hari jadi serta majlis-majlis rasmi kerajaan dan swasta adalah dilarang.

“Sebarang bentuk seminar,persidangan dan mesyuarat secara bersemuka adalah tidak dibenarkan.

“Majlis akad nikah adalah dibenarkan dengan jumlah kehadiran dan SOP yang ditentukan oleh pihak berkuasa agama Islam negeri bagi orang Islam dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi orang bukan Islam,” katanya.

Sementara semua aktiviti sukan dan rekreasi dilarang kecuali rekreasi individu di kawasan terbuka seperti jogging, berbasikal dan senaman dengan mengamalkan penjarakan fizikal.

Semua institusi pendidikan ditutup dengan pengecualian diberikan kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan antarabangsa walaupun pusat asuhan kanak-kanak, tabika, taska dan tadika dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan bagi membantu urusan kerja ibu bapa atau penjaga.

“Bilangan orang di dalam kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing kepada tiga orang sahaja termasuk pemandu.

“Bilangan orang yang dibenarkan di dalam kenderaan membawa barangan serta rantaian aktiviti ekonomi/industri adalah bergantung kepada jumlah yang dibenarkan dalam lesen pendaftaran kenderaan perdagangan.

“Bilangan orang yang dibenarkan di dalam pengangkutan awam mestilah mematuhi penjarakan fizikal dan mematuhi SOP yang ditetapkan,” kata perdana menteri.

Dine-in di restoran dan kedai makan adalah tidak dibenarkan dengan hanya penjualan makanan secara pandu lalu dan take-away dibenarkan.

“Majikan diwajibkan melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) dengan kehadiran tidak lebih 30 peratus kakitangan pengurusan pada setiap masa.

“BDR sektor awam ditentukan oleh garis panduan yang dikeluarkan oleh ketua setiausaha negara dari semasa ke semasa.”

Menurut Muhyiddin, ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa sambutan Hari Raya adalah tidak dibenarkan akan tetapi solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah.

“Operasi Rumah Ibadah Bukan Islam juga akan diperketatkan. SOP bagi Rumah Ibadah Bukan Islam ditetapkan oleh kementerian perpaduan.

“Langkah-langkah khusus yang sedang dilaksanakan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan diteruskan.”

Muhyiddin berkata semua sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi dalam tempoh ini dan SOP terperinci bagi semua larangan dan arahan yang terkandung dalam PKP akan diumumkan oleh MKN.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.