- Iklan -
Berita

Kedai makan boleh beroperasi sehingga 10 malam bermula esok

Malaysia kekal pada Fasa 1 PKP 3.0.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pelaksanaan menghadkan waktu operasi restoran dan kedai makan sehingga pukul 8 malam didakwa menyusahkan mereka yang perlu membeli makanan selepas waktu kerja.
Pelaksanaan menghadkan waktu operasi restoran dan kedai makan sehingga pukul 8 malam didakwa menyusahkan mereka yang perlu membeli makanan selepas waktu kerja.

Putrajaya hari ini mengumumkan operasi premis kedai makan dan restoran akan mulai beroperasi dari jam 6 pagi sehingga 10 malam berkuatkuasa pada 28 Jun.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kita rayuan dari pengusaha kedai makan dan restoran untuk beroperasi lebih 8 malam.

Beliau berkata negara akan kekal dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) Fasa 1 dan masih belum bersedia ke Fasa 2.

Katanya, hal ini kerana graf jumlah kes positif Covid-19 harian masih menunjukkan trend mendatar.

“Berdasarkan penilaian risiko yang dilaksanakan oleh kementerian kesihatan, kerajaan akan mengekalkan lagi tempoh Fasa 1 di seluruh negara seperti yang diumumkan oleh perdana menteri sebelum disahkan hari ini.

“Ia mengambil kira situasi semasa ketika ini yang masih belum berjaya untuk beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2 apabila graf jumlah kes positif baharu harian menunjukkan trend mendatar,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan PKP Fasa 1 akan beralih kepada Fasa 2 dengan mengambil kira tiga indikator nilai ambang utama iaitu purata kes harian Covid- 19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di ICU pada paras sederhana serta kadar vaksinasi bagi populasi yang menerima dua dos lengkap mencapai 10%.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak bersetuju untuk melanjutkan PKP kerana kes harian Covid-19 masih tinggi di negeri itu.

Bagaimanapun, SOP kedai makan dan restoran kekal beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam, berlainan dengan kerajaan persekutuan yang membenarkan restoran beroperasi sehingga 10 malam.

Jawatankuasa mengingatkan penduduk Sarawak untuk mematuhi SOP yang diputuskan oleh kerajaan negeri.

“JPBN bermesyuarat dan bersetuju bahawa PKP dilanjutkan dan SOP yang sedia ada dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa pengurusan bencana Sarawak dibenarkan untuk mencadangkan SOP yang sesuai dengan keadaan negeri semasa PKP seperti yang dinyatakan dalam Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam Sarawak 1999, yang merangkumi peruntukan khas berkaitan kawalan pergerakan dalam negeri.