- Iklan -
Berita

Moratorium pinjaman automatik sangat diperlukan, kata badan pemikir selepas PKP lanjut sekali lagi

Emir Research mencadangkan kerajaan mengumumkan moratorium pinjaman automatik, mengatakan ia adalah 'situasi menang-menang' walaupun beberapa peminjam kaya turut ‘menikmatinya’.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita sedang menunggu giliran untuk bertemu pegawai bank.
Seorang wanita sedang menunggu giliran untuk bertemu pegawai bank.

Moratorium pinjaman automatik dari bank sangat kritikal ketika ini bagi membantu individu dan perniagaan kecil terus bertahan daripada impak penutupan perniagaan mereka yang berterusan, kata sebuah badan penyelidikan bebas selepas kerajaan hari ini mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan sekali lagi.

“Bahaya kegagalan membayar semula pinjaman secara besar-besaran jika moratorium tidak diberikan mungkin lebih besar daripada yang kita fikirkan,” kata Emir Research dengan alasan moratorium pinjaman menyeluruh adalah serupa dengan skim yang sama diumumkan kerajaan tahun lalu.

Badan pemikir itu juga tidak bersetuju dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz yang berkata kebanyakan peminjam kembali berada dalam keadaan kewangan yang stabil berdasarkan fakta bahawa 85% daripadanya kembali membayar pinjaman dan tidak memilih untuk melanjutkan moratorium enam bulan ketika berakhir pada September tahun lalu.

Emir Research juga menjelaskan punca “sebenarnya adalah kerana moratorium pinjaman membantu mereka menyimpan pendapatan” dan kerana itu, kebanyakan peminjam dapat meneruskan pembayaran.

“Sekiranya tidak ada moratorium, atau hanya tumpu kepada 15% orang yang gagal bayar bermaksud jumlah peminjam tidak membayar boleh meningkat antara 15% hingga 85%.

“Angka 15% itu bermaksud 15% peminjam berada dalam kedudukan yang cukup buruk sehingga moratorium pun tidak dapat menolong mereka untuk bertahan. Sebaliknya, mereka memerlukan lebih banyak bantuan,” kata badan pemikir itu dalam artikel yang menjelaskan mengapa moratorium automatik mesti diumumkan.

Lockdown yang dilaksanakan awal bulan ini menyaksikan hampir seluruh sektor perniagaan ditutup bagi membendung Covid-19.

Putrajaya berkata bank akan memberikan moratorium selama tiga bulan dengan permohonan mereka yang berada dalam kumpulan B40 selain yang kehilangan pendapatan akibat pandemik.

Langkah terbaru yang diambil kerajaan itu berbeza daripada moratorium automatik seperti yang diumumkan semasa PKP tahun lalu apabila kerajaan melaksanakan pembekuan pembayaran semula pinjaman selama enam bulan.

Zafrul mempertahankan keputusan kerajaan yang tidak mahu mengarahkan bank-bank untuk menyediakan bantuan serupa seperti tahun lalu, mengatakan kebanyakan peminjam berada pada tahap yang lebih baik untuk membayar semula pinjaman berbanding tahun lalu.

Langkah tersebut turut mencetuskan perbahasan berhubung kuasa menteri kewangan ke atas bank, selain beliau turut dikritik kerana cenderung menyebelahi industri bank.

Namun baru-baru ini, Zafrul memberikan isyarat kerajaan akan mempertimbangkan semula keputusan untuk melaksanakan moratorium automatik, mengatakan beliau sudah membincangkan perkara itu dengan perdana menteri dan agensi-agensi yang relevan.

Semalam, Zafrul turut berkata kerajaan akan mengumumkan bantuan bersesuaian pada masa terdekat.

Emir Research berkata sukar untuk mengenal pasti mengapa ramai yang memilih untuk tidak melanjutkan moratorium pinjaman mereka selepas tempoh enam bulan tahun lalu.

“Apakah mungkin mereka yang 85% itu memiliki masalah aliran tunai juga? Perbezaan antara 85% dan 15% adalah tempoh (atau kapasiti ‘inter-temporal’) di mana aliran tunai mereka boleh terus kekal mengalir.

“Golongan 85% itu memiliki aliran tunai yang boleh dipanjangkan ke tempoh yang lebih lama,” katanya dalam artikel yang ditulis Ketua Pengarah Eksekutif Emir Research Rais Hussin dan pengkaji lain termasuk Margarita Peredaryenko, Jason Loh dan Ameen Kamal.

“Apakah ada sesiapa yang tanya apa yang golongan 85% itu lakukan untuk kembali bayar pinjaman mereka?

“Mungkin mereka pergi ke kedai pajak gadai, keluarkan simpanan KWSP, atau pinjam daripada peminjam haram, atau jual aset-aset mereka atau lakukan perkara-perkara yang melanggar tatasusila dan maruah.

“Dan adakah sesiapa yang fikir betapa buruknya situasi golongan 15% itu yang tak mampu membayar semula pinjaman dan apa yang berlaku pada mereka selepas itu?” tambah mereka.

Mereka berkata moratorium pinjaman automatik bukan hanya sangat diperlukan ketika ini “bahkan perlu lebih segera dan mudah dilaksanakan”, kerana ia dapat membina jaringan keselamatan “yang lebar bagi membantu mereka yang sangat-sangat memerlukan, termasuk sektor ekonomi tidak formal”.

“Dan jika jaringan ini turut menarik mereka yang ‘naik percuma’ (iaitu mereka yang tidak memerlukan skim moratorium namun mendapat manfaatnya), biarkan saja – kerana kami tahu golongan itu terlalu sedikit berbanding majoriti yang menderita,” kata Emir Research sambil menyifatkan moratorium itu kini boleh dikatakan berada pada tahap “situasi menang-menang”.

“Mungkin untuk sekali ini, sekurang-kurangnya dalam berdepan keadaan yang belum pernah terjadi sebelum ini dan mengancam kita semua sebagai sebuah negara, nilai keuntungan yang biasa dilihat sebagai segala-galanya akan memberi tempat yang layak kepada nilai universal kehidupan – nilai kehidupan kita dan kehidupan orang lain.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.