- Iklan -
Berita

Sekolah di Johor, Terengganu beroperasi ikut ketetapan Fasa 4 PPN pada 7 November

Operasi tersebut bermula selepas dua minggu dua negeri itu beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa murid menaiki bas ke sekolah. Johor akan memulakan operasi sekolah mengikut ketetapan Fasa Empat PPN November depan.
Beberapa murid menaiki bas ke sekolah. Johor akan memulakan operasi sekolah mengikut ketetapan Fasa Empat PPN November depan.

Kementerian pendidikan (KPM) hari ini berkata operasi institusi pendidikan di Johor dan Terengganu yang beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan bermula pada 7 November, dua minggu selepas ia beralih fasa yang akan berkuat kuasa esok.

Sehubungan itu, menurut KPM, sebelum 7 November, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi negeri Johor dan Terengganu akan terus beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa Tiga PPN.

“Bermula 7 November 2021, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM di negeri Johor dan Terengganu adalah mengikut ketetapan pengoperasian Fasa Empat PPN.

“Ini turut melibatkan kemasukan bagi murid Tahap Satu (Tahun Satu, Dua dan Tiga) sekolah rendah serta murid Tingkatan Tiga dan Tingkatan Empat sekolah menengah,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, sekolah di bawah KPM di dua negeri itu hanya akan memulakan operasi pada 8 November kerana 7 November adalah cuti tambahan sempena perayaan Deepavali, sementara institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM beroperasi mengikut takwim masing-masing.

Dalam pada itu, KPM berkata kehadiran murid Tahap Dua (Tahun Empat, Lima dan Enam) sekolah rendah serta kelas peralihan, Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua sekolah menengah bagi negeri Johor dan Terengganu akan bermula pada 14 November 2021, iaitu seminggu selepas negeri-negeri tersebut memulakan pengoperasian berdasarkan ketetapan Fasa 4 PPN.

KPM turut menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri.

12 September lalu, Menteri Pendidikan Radzi Jidin mengumumkan pembukaan semula sekolah di seluruh negara akan dilaksanakan berdasarkan fasa-fasa yang ditetapkan di bawah PPN dengan sistem giliran di mana pelajar bagi setiap kelas akan dibahagikan kepada dua kumpulan bagi menjalani sesi persekolahan secara bersemuka bermula 3 Oktober depan.

KPM juga sedang mempertimbangkan supaya Tingkatan Lima sekolah menengah boleh hadir ke sekolah tanpa sistem giliran berdasarkan kadar vaksinasi yang tinggi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).