- Iklan -
Berita

Singapura ‘di pihak salah’, kata Amnesty berhubung pelaksanaan hukuman mati terhadap OKU mental warga Malaysia

Kumpulan hak asasi berkata masih ada waktu untuk Singapura menukar haluannya mengenai pelaksanaan hukuman mati terhadap Nagaenthran K Dharmalingam.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Aktivis mengangkat gambar Nagaenthran K Dharmalingam dalam himpunan penyerahan memorandum di Parlimen.
Aktivis mengangkat gambar Nagaenthran K Dharmalingam dalam himpunan penyerahan memorandum di Parlimen.

Kumpulan hak asasi manusia Amnesty International (AI) hari ini turut menyertai suara bantahan terhadap hukuman mati oleh kerajaan Singapura yang akan dilaksanakan terhadap seorang banduan kesalahan dadah warga Malaysia yang tidak memiliki keupayaan mental, mengatakan republik itu “sekali lagi berada di pihak yang salah dalam sejarah dengan undang-undang dan dasar dadah kejamnya berhubung dadah”.

Dalam satu kenyataan, penyelidik AI Singapura Rachel Chhoa-Howard berkata menggantung sehingga mati seseorang “yang disabitkan kesalahan kerana membawa dadah di waktu keterangan menunjukkan dia mungkin tidak memahami sepenuhnya apa yang dilakukannya adalah satu tindakan kejam”.

“Masih ada masa untuk Singapura mengubah haluan dan menghentikan pelaksanaan yang menyalahi undang-undang ini daripada berlaku,” tambahnya.

Beliau turut memetik “kebimbangan besar” bahawa terdapat beberapa pelanggaran hak asasi antarabangsa dalam kes tersebut.

Nagaenthran K Dharmalingam, yang disabitkan dengan kesalahan dadah 10 tahun lalu namun didiagnosis sebagai OKU terencat akal, dijadualkan akan dilaksana pada 10 November depan.

Dia disabitkan pada 2011 kerana mengimport 42.72g diamorfin secara haram dan dijatuhi hukuman mati di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura yang merupakan undang-undang kontroversi namun terus dipertahankan pemimpin negara itu dengan menyifatkannya sebagai pencegah jenayah pengedaran dadah yang berkesan.

Nagaenthran disahkan mengalami kecacatan mental dan memiliki tahap IQ yang rendah selain turut didiagnosis memiliki Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD).

Dokumen perubatan yang dikemukakan semasa perbicaraan Nagaenthran juga berkata dia tidak mempertimbangkan akibat jangka panjang tindakannya ketika perbuatan itu dilakukan, selain penggunaan alkohol yang turut menjejaskan pertimbangan keputusannya.

Chhoa-Howard berkata kebimbangan mengenai pencabulan hak dalam kes Nagaenthran meliputi isu penggunaan hukuman mati mandatori bagi kesalahan berkaitan dadah dan kebimbangan mengenai keadilan prosiding yang menurutnya boleh menyebabkan pelaksanaan hukuman itu sebagai satu tindakan yang menyalahi undang-undang.

“Seperti apa yang ditunjukkan oleh petisyen yang ditandatangani oleh puluhan ribu orang, Singapura sekali lagi berada di pihak yang salah dalam sejarah apabila menggunakan undang-undang dan dasar kejam berkaitan dadah, di mana ia telah gagal menangani isu penggunaan dadah di negara ini,” katanya.

Kenyataan itu juga turut memetik sekatan pergerakan ekoran wabak Covid-19 bermaksud Nagaentran tidak dapat bertemu dengan keluarganya selama lebih dua tahun.

“Baru sekarang sahaja, lima ahli keluarganya dibenarkan untuk pergi ke Singapura bagi melawatnya di penjara,” kata Chhoa lagi sambil menambah aktivis juga turut menyuarakan isu berkaitan Covid-19 yang meletakkan syarat kuarantin sehingga menyebabkan mereka ahli keluarga Nagaenthran terpaksa menanggung kos kewangan dan logistik tambahan.

Bantahan semakin memuncak terhadap pelaksanaan hukuman mati Nagaenthran apabila Rabu lalu, aktivis dan NGO berkumpul di bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada kerajaan bagi mengetengahkan nasib yang menimpa banduan bilik akhir itu.

Pada 8 November ini, Mahkamah Singapura akan mendengar cabaran perlembagaan yang difailkan peguam hak asasi terkemuka M Ravi dalam usaha perundangan terakhir bagi menghentikan hukuman mati terhadap Nagaenthran.

Dalam fail cabaran Ravi, beliau menuntut tafsiran Artikel 9 dibaca selaras dengan tanggungjawab antarabangsa, memetik penghakiman pada 2010 mengenai kepentingan mematuhi perjanjian-perjanjian yang telah ditandatangani oleh sebuah negara, serta klausa perlembagaan mengenai hak kesaksamaan dan layanan yang setara.

Dalam pada itu, kerajaan Singapura turut dilaporkan mempertahankan hukuman mati Nagaentran, mengatakan dia memahami dengan jelas jenayah yang dilakukan dan semua proses rayuan telah dijalaninya.

Kerajaan juga mendakwa keluarga Nagaenthran turut diberikan kemudahan untuk melawatnya di Singapura.

 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.