- Iklan -
Berita

Bilionair Britain turut merayu Singapura henti pelaksanaan hukuman mati Nagaenthran

Tokoh berpengaruh syarikat penerbangan Britain itu berkata kes Nagaenthran K Dharmalingam adalah satu contoh individu miskin yang terpaksa membawa dadah dan berdepan hukuman mati ketika ditangkap.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Tokoh bilionair syarikat penerbangan Britain Richard Branson. Gambar: AP
Tokoh bilionair syarikat penerbangan Britain Richard Branson. Gambar: AP

Tokoh syarikat penerbangan Britain Richard Branson turut menggesa kerajaan Singapura menghentikan hukuman mati kontroversi ke atas seorang banduan warga Malaysia yang didiagnosis cacat mental, menulis rayuan secara peribadi kepada presiden republik itu supaya pengampunan diberikan.

“Puan Presiden, saya merayu puan selamatkan nyawa dan mari kita sama-sama berusaha untuk menamatkan hukuman mati bagi selama-lamanya,” kata Branson dalam blog yang dikelola syarikat penerbangannya Virgin Group.

Beliau berkata sabitan terhadap Nagaenthran K Dharmalingam adalah satu contoh kes di seluruh dunia di mana ramai orang miskin dipaksa menyeludup dadah untuk menampung kehidupan dan terpaksa menanggung “hukuman mati” sementara dalang sebenar terus menjalankan perniagaan haram mereka yang sangat menguntungkan.

“Kisah versi Asia Tenggara ini juga serupa. Biasanya golongan miskin adalah yang paling terdedah, mereka yang bergelut untuk memenuhi keperluan hidup, pendatang asing yang memerlukan wang, mereka yang terbelenggu jerat jenayah, dan tidak dapat mempertahankan diri apabila ditahan dan dibicarakan.

“Dalam kes Nagaenthran, ada yang mengatakan dia sendiri mungkin menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Bagaimanapun, sebagai orang kecil, dia tidak mendapat keuntungan daripada kesalahannya; keuntungan besar diperoleh oleh orang lain, ” kata Branson, sambil menambah adalah salah bagi kerajaan untuk mengenakan hukuman mati terhadap mereka yang disabitkan dengan jenayah dadah tanpa kekerasan.

“Tiada apa yang boleh disangkal daripada hakikat kebenaran,” katanya lagi.

“Saya tidak pernah merahsiakan pendirian saya mengenai hukuman mati. Ia adalah amalan tidak berperikemanusiaan yang tidak sepatutnya mendapat tempat dalam masyarakat moden. Tetapi tidak kira di mana anda berada, kes seperti Nagaenthran menggambarkan mengapa hukuman mati tidak boleh lagi dilaksanakan.”

Ulasan Branson itu tampil ketika mahkamah Singapura hari ini membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman mati Nagaenthran dua hari sebelum ia dijadualkan bakal dijalankan di Penjara Changi.

Kemarahan berhubung pelaksanaan hukuman itu berpunca daripada diagnosis keupayaan mentalnya, yang mengesahkan antara lain memiliki IQ 69 – di bawah nilai ambang 70 bagi seseorang itu diisytiharkan seseorang individu yang tidak memiliki keupayaan intelek.

Kumpulan hak asasi manusia dan aktivis juga turut mengadakan protes dan bantahan sejak dua minggu lalu bagi mengingatkan kerajaan Singapura tentang kewajipannya mematuhi perjanjian antarabangsa yang melarang hukuman mati terhadap OKU mental.

Kes beliau juga mendapat perhatian Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang menulis rayuan kepada rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsian Loong supaya nyawa Nagaenthran diselamatkan.

Sementara itu, lebih 60,000 orang telah menandatangani petisyen dalam talian kepada Presiden Singapura Halimah Yacob bagi menggesa beliau menggunakan kuasa pengampunan kepada Nagaenthran.

Kerajaan Singapura, yang sering mengatakan undang-undang kerasnya berjaya menghalang jenayah dadah, bertindak balas dengan mengatakan Nagaenthran menyedari sepenuhnya tindakan yang dilakukannya.

Malahan, ia berkata Nagaenthran memalsukan keadaan mentalnya dengan mengubah kelayakan akademik bagi menunjukkan dia memiliki IQ rendah.

Kerajaan Singapura sentiasa mempertahankan hukuman mati bagi kesalahan dadah, berbanding Malaysia yang mengenakan moratorium bagi jenayah berkaitan dadah sementara menunggu semakan.

Para pengkritik juga menegaskan kebanyakan daripada yang disabitkan kesalahan itu adalah keldai dadah yang berasal daripada keluarga miskin, manakala dalang utama yang mengupah mereka sering terlepas hukuman.

Branson menyifatkan nasib Nagaenthran sebagai satu “ketidakadilan yang serius”, dan memetik kes yang sama di Sabah, Malaysia di mana ibu tunggal Hairun Jalmani dijatuhi hukuman mati Oktober lalu.

“Mustahil untuk seseorang itu tidak nampak betapa ketidakadilan, kemiskinan dan hukuman mati berkait antara satu sama lain.”

Beliau juga mempersoalkan hujah pendekatan tiada toleransi dalam memerangi perdagangan dadah, mengatakan pengalaman di Asia Tenggara menunjukkan perniagaan dadah terus berkembang.

“Tahun demi tahun, orang ramai hadapi hukuman gantung, ditembak mati, atau – di Filipina yang dipimpin Duterte – skuad kematian yang tidak telus menjalankan hukuman bagi jenayah berkaitan dadah.

“Namun, perdagangan dadah global terus berkembang, dan semua jenis dadah terlarang lebih mudah didapati di seluruh dunia berbanding mana-mana titik lain dalam sejarah.

“Jika pencegahan adalah objektif, undang-undang ini gagal dengan teruk. Dan ia akan terus gagal. Apa yang negara benar-benar perlukan ialah pembaharuan dasar mengenai dadah yang komprehensif dengan menumpukan pengurangan kemudaratan dan kesihatan awam, bukan pada jenayah dan hukuman.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.