- Iklan -
Berita

Apa salahnya ahli minum arak, kata Syed Saddiq

Pemimpin Muda Syed Saddiq menggesa orang ramai hormati hak peribadi ahlinya minum arak.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Salah satu gambar tular beberapa individu memakai baju berlogo Muda sedang minum bir berama-ramai. Gambar: Twitter
Salah satu gambar tular beberapa individu memakai baju berlogo Muda sedang minum bir berama-ramai. Gambar: Twitter

Pengasas bersama parti Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mengatakan bukan satu kesalahan untuk ahli partinya minum arak selagi perbuatan itu tidak melanggar lunas undang-undang, menggesa supaya orang ramai menghormati hak peribadi mereka untuk minum.

Dalam sebuah hantaran Facebook, Syed Saddiq menjawab dakwaan bahawa Muda menggunakan wang dana banjir yang dikumpulkan untuk membeli minuman alkohol selepas beberapa imej tular memaparkan beberapa individu memakai baju berlogo parti itu sedang minum bir beramai-ramai.

Dalam sebuah hantaran, Saddiq berkata penularan imej itu adalah satu cara yang digunakan oleh pihak terdesak yang tidak senang dengan kerja Muda sepanjang bencana banjir dalam negara.

“Parti ini, parti berbilang kaum. Bukan kesalahan untuk mereka minum lainlah kalau mereka memandu.

“Saya percaya taktik murah dan lapuk ini adalah taktik mereka yang terdesak,” kata ahli Parlimen Muar itu.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut membidas dakwaan yang mengatakan partinya menggunakan wang itu untuk membeli minuman keras, mengatakan 100% wang sumbangan digunakan disalurkan kepada mangsa banjir melalui inisiatif Mari Bantu.

“Muda tak guna duit sumbangan untuk beli minuman alkohol. Ini tuduhan paling tak masuk akal. Muda is an open book.

“Minggu lepas saya dah buat sidang media dan tunjuk semua resit transaksi Mari Bantu. Semua urusan direkod dan akan diaudit.

Menurutnya, tidak ada keperluan untuk membuat tuduhan kononnya Muda salah guna duit dana banjir.

“Kalau betul-betul nak tularkan isu, tularlah isu salah laku dan curi wang rakyat.

“Bawalah isu rasuah, guna wang rakyat untuk kepentingan diri.”