- Iklan -
Berita

Tiada konflik kepentingan pembelian saham oleh KP SPRM, kata lembaga penasihat

Ahli LPPR berpuas hati dengan penjelasan Azam sambil menambah tiada siasatan lanjut akan dijalankan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Abu Zahar Ujang.
Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Abu Zahar Ujang.

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) berkata tiada konflik kepentingan dalam pembelian saham syarikat-syarikat tertentu oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki pada tahun 2015.

Dapatan tersebut disimpulkan oleh LPPR selepas mendengar keterangan dari Azam sendiri berhubung kontroversi pembelian saham yang menjadi perbahasan hangat di media sosial selepas seorang ahli LPPR, Edmund Gomez membangkitkan perkara itu ketika mengumumkan peletakan jawatan beliau baru-baru ini.

Menurut Abu Zahar Ujang yang mempengerusikan lembaga itu, semua ahli LPPR berpuas hati dengan penjelasan Azam sambil menambah tiada siasatan lanjut akan dijalankan terhadap ketua agensi pencegahan rasuah negara itu.

“Ahli-ahli LPPR mendapati tiada kepentingan peribadi ke atas saham-saham berkenaan.

“Pembelian dibuat di pasaran terbuka dan tiada percanggahan kepentingan dalam pembelian saham. Semua saham telah dipindahkan kepada adiknya, Nasir Baki,” kata Abu Zahar dalam sidang media hari ini.

Beliau turut berkata, sekretariat LPPR mendapati Gomez tidak pernah menghantar sebarang surat atau emel berhubung isu itu.

Pada 28 Disember lalu, Gomez dilaporkan meletakkan jawatan dari LPPR dalam sebuah surat terbuka.

Gomez menyatakan kekecewaannya kerana lembaga penasihat masih tidak bermesyuarat untuk membincangkan isu pegagangan saham Azam yang dibangkitkan di Parlimen pada 14 Disember lalu dan dilaporkan secara meluas oleh media.

Surat yang ditujukan kepada Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM Borhan Dolah itu antara lain turut mempersoalkan pemilikan kira-kira dua juta unit saham oleh Azam Baki di sebuah syarikat senarai awam.

Katanya perkara tersebut pernah dibangkitkan pada November lalu namun tidak mendapat respons Borhan.

Dalam pada itu, Abu Zahar turut menjemput Gomez supaya berjumpa dengan pihak LPPR dan memberikan bukti dakwaan yang ditimbulkan beliau.

“Kami tidak terima apa-apa darinya.”

Abu Zahar berkata LPPR akan merujuk isu tersebut kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob susulan gesaan pimpinan pembangkang yang mahu kerajaan mengambil tindakan berkenaan isu tersebut sambil menambah ia juga tidak memerlukan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.