- Iklan -
Berita

Membayangkan kekalahan, orang kuat Amanah gesa PH adakan kerjasama dengan PN

Mazlan Aliman berkata pemimpin pembangkang perlu melupakan Langkah Sheraton.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Sebuah motosikal melalui deretan perang bendera antara Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di Bukit Rambai pada PRN Melaka November tahun lalu.
Sebuah motosikal melalui deretan perang bendera antara Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di Bukit Rambai pada PRN Melaka November tahun lalu.

Orang kuat Amanah hari ini menggesa Pakatan Harapan (PH) memperluaskan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan melibatkan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan sekutunya, membayangkan gabungan pembangkang mungkin bakal mengalami kekalahan sekali lagi dalam pilihan raya yang bakal diadakan.

Mazlan Aliman yang merupakan bekas aktivis popular PAS yang kemudian menyertai Amanah pada awal penubuhannya, memberi amaran jika PH memutuskan untuk menghadapi PRN dengan kedudukannya sekarang ini, ia akan berdepan kekalahan seperti apa yang berlaku pada PRN Melaka.

“PH yang dianggotai PKR, Amanah, DAP dan Upko ibarat ‘serah tengkuk’ kepada Barisan Nasional (BN) jika berada pada status quo seperti di Melaka dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada PRN Melaka, BN kembali membentuk kerajaan negeri susulan kekalahan teruk PH terutama PKR, di mana parti itu tidak memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara Bersatu pula berjaya mengekalkan dua kerusinya.

Kemenangan Bersatu itu membuatkan penganalisis mengatakan calon-calon parti itu menjadi punca kekalahan PH di kerusi majoriti Melayu.

Mazlan berkata gesaan Pengerusi PH Anwar Ibrahim yang mahu gabungan itu bekerjasama dengan parti pembangkan lain perlu melibatkan Bersatu dan PAS, parti utama PN yang diketuai Muhyiddin Yassin.

“Bersatu dan PAS sendiri meskipun dalam kerajaan Johor, tidak diajak berunding untuk pembubaran DUN Johor,” katanya sambil menambah Umno tidak menghargai gabungan itu.

Beliau turut berkata kemenangan Umno di Johor hanya akan mengembalikan pemimpin “kleptokrasi”.

“Ia akan membuka laluan untuk PRU ke-15 dan dengan andaian menang dua pertiga majoriti di Parlimen demi melaksanakan agenda mereka.

“Adakah PH dan rakyat pada keseluruhannya ingin kembali ke episod kleptokrasi seperti dahulu?” katanya sambil mengatakan kerjasama bersama Bersatu dan PAS akan membentuk “pakatan terbesar”.

“Ia gambaran sebenar Keluarga Malaysia!” katanya merujuk slogan yang diperkenalkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau juga berkata Umno dilihat yakin untuk memenangi PRN Johor, menyifatkan parti itu “angkuh” dengan kenyataannya mahu bergerak solo.

Mazlan juga yakin pakatan pembangkang itu akan dapat mengalahkan BN, memetik kerjasama di mana PH memenangi pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Semalam Muhyiddin berkata gabungan itu sedia menghadapi PRN Johor pada bila-bila masa walaupun tidak dirujuk terlebih dahulu dalam memutuskan pembubaran DUN di negeri itu.

Beliau juga akan mengadakan mesyuarat bersama parti komponen lain PN untuk memutuskan pembahagian kerusi dan jentera pilihan raya.

Ketika ini, secara keseluruhannya, BN memegang 28 kerusi di DUN Johor yang terdiri dari Umno (14), Bersatu (11) dan PAS (satu), sementara PH memegang 27 kerusi yang terdiri dari DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).

Melaka dikuasai PH sebelum ia tumbang selepas Bersatu keluar daripada gabungan itu.

Menurutnya, memang tidak mudah bagi pemimpin PH melupakan Langkah Sheraton, menyifatkannya sebagai satu episod “pahit” dan “tragik” kepada gabungan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata PH perlu “berjiwa besar” dalam mempertimbangkan cadangannya demi rakyat yang merasakan mandat yang diberikan kepada pada PRU lalu dikhianati.