Masjid Kristal Terengganu bergelut kembalikan sinar gemerlapan
Pernah dinobatkan sebagai masjid ketiga tercantik di dunia, Masjid Kristal kini sedang dalam proses baik pulih beberapa masalah bangunannya selepas tertangguh akibat pandemik.
Masjid Kristal di Terengganu pernah dinobatkan sebagai masjid ketiga tercantik di dunia.
Dengan seni bina unik dan berbeza, ia menjadi tarikan negeri Terengganu sejak mula beroperasi pada 2008.
Mampu memuatkan 1,500 jemaah pada satu-satu masa, masjid yang didirikan dengan kos RM22 juta itu berada dalam keadaan menyedihkan apabila menghadapi masalah kebocoran bumbung dan cermin kubah.
Tinjauan MalaysiaNow di masjid tersebut mendapati kerja-kerja pembaikan sedang berjalan.
Ekoran itu, ruangan solat ditutup kepada pengunjung.
Hanya tempat solat alternatif disediakan di dalam sebuah bangunan di luar bangunan masjid.
Kerja-kerja pembaikan bermula pada 2019 namun tergendala akibat pandemik Covid-19.
Ia dijangka siap sebelum April ini bagi membolehkan masjid itu berfungsi ketika Ramadan yang bakal menjelang.
Seorang pelancong dari Lembah Klang berkata, dia dan keluarga tiba untuk melihat sendiri keindahan Masjid Kristal selepas melawat Taman Tamadun Islam berhampiran masjid itu namun hanya mampu melihat dari luar.
“Agak kecewa sedikit namun kita faham jika ia tidak dibuka agar tidak membahayakan orang lain,” menurut Muhd Khairul Nizam yang pertama kali melawat kompleks masjid tersebut.
Sementara itu, orang pekerja kedai cenderahati berkata, tumpuan kebanyakan pelancong ialah kepada Taman Tamadun Islam yang terletak berhampiran.
“Kebanyakan yang datang ke masjid untuk solat namun terpaksa melupakan hasrat itu dan hanya mampu bergambar.
“Sebenarnya notis penyelenggaraan sudah lama dinaikkan, tetapi ramai yang tidak perasan,” katanya yang tidak mahu dikenali.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Ariffin Deraman pada pertengahan Januari berkata, Terengganu menyasarkan lima juta pelancong pada tahun ini, kurang dua juta daripada 5.5 juta pelancong yang disasarkan pada tahun lepas.
Namun menurut Ariffin, jumlah itu akan dikaji mengikut keadaan semasa Covid-19.
Meskipun masjid itu masih belum dibuka, ia tetap menjadi lokasi pilihan untuk sesi bergambar oleh beberapa graduan universiti tempatan.
Selain monumen di Taman Tamadun Islam, pelancongan juga tertumpu kepada aktiviti menaiki bot (river cruise) yang disediakan berhampiran masjid.
Walaupun perintah kawalan pergerakan (PKP) sudah ditarik semula, Masjid Kristal masih bergelut untuk mengembalikan keindahan dan kegemilangannya.
Taman Tamadun Islam dan kawasan sekeliling masjid dibuka semula pada Oktober tahun lalu namun kehadiran pelancong masih belum menggalakkan.
“Ramai orang masih takut-takut untuk keluar. Beberapa pekedai di sini terpaksa gulung tikar dan lot kedai diberikan kepada orang lain,” menurut salah seorang peniaga makanan di kawasan masjid.
Katanya, kecuali pada hujung minggu, jumlah pelancong harian masih tidak mencapai angka sebelum pandemik.
Menurutnya, sebagai ikon dan lambang agama Islam di Terengganu, semestinya Masjid Kristal perlu dikembalikan keindahan dan fungsinya sebagai rumah ibadat.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.