Muhyiddin Yassin hari ini memberi amaran walaupun Ismail Sabri Yaakob adalah perdana menteri yang menggantikan beliau namun yang menguasai Umno adalah presiden parti itu.
“Apabila Parlimen dibubarkan, yang berkuasa menentukan calon yang akan bertanding dan mengetuai parti dalam pilihan raya adalah presiden, bukan perdana menteri.
“Jika parti mereka menang dalam pilihan raya, lazimnya yang akan diangkat menjadi perdana menteri adalah presiden parti. Jika ini berlaku, maka lengkaplah perancangan kluster mahkamah. Mereka akan kembali berkuasa dan selesailah masalah mereka.
“Jadi siapa sebenarnya pengkhianat? Saya atau mereka?” soal bekas perdana menteri itu dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Muhyiddin, kluster mahkamah sedang berusaha untuk kembali berkuasa demi menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi mereka.
Katanya, mereka berusaha untuk menumbangkan pentadbiran yang diketuai beliau sebagai perdana meneteri selepas enggan untuk campur tangan dalam kes mahkamah yang dihadapi kumpulan itu.
Dalam pada itu, beliau mengakui menerima sokongan daripada kumpulan kluster mahkamah namun beliau tidak pernah berkempen untuk menjadi perdana menteri namun dilantik Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua kerajaan melalui peruntukan Perlembagaan Persekutuan selepas menerima sokongan majoriti ahli Parlimen termasuk sekumpulan ahli Parlimen dari Umno.
“Ya, saya jadi perdana menteri kerana disokong oleh ahli-ahli Parlimen termasuk daripada kluster mahkamah.
“Saya tidak minta untuk jadi perdana menteri. Saya tidak pernah berkempen pun untuk jadi perdana menteri.
“Saya hanya mengikut apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Apabila saya mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen, saya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai perdana menteri. Maka sahlah pelantikan saya itu.”
Namun, katanya, beliau tersedar sokongan yang diberikan mereka mempunyai rancangan lain memetik pepatah “ada udang di sebalik batu.”
Beberapa hari sebelum pelantikan beliau sebagai perdana menteri, kluster mahkamah bertemu dengannya merayu supaya campur tangan dalam kes mereka supaya dibebaskan.
“Walaupun saya tahu kedudukan saya sebagai perdana menteri bergantung kepada sokongan mereka, saya katakan tidak kepada mereka kerana saya tidak mahu mengkhianati sumpah dan amanah jawatan saya sebagai perdana menteri.
“Sejak dari itulah bermulanya gerakan kluster mahkamah ini untuk menjatuhkan saya.”
Kluster mahkamah merujuk sekumpulan ahli Parlimen Umno termasuk bekas perdan menteri Najib Razak dan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi yang kini berdepan pelbagai pertuduhan jenayah di mahkamah.
Beliau turut menambah, kumpulan itu masih lagi tidak berpuas hati ekoran kegagalan mereka untuk bebas daripada pertuduhan jenayah.
Muhyiddin berkata, antara usaha kumpulan itu untuk kembali memegang tampuk pentadbiran kerajaan ialah dengan menumbangkan kerajaan-kerajaan negeri dengan mencetuskan pilihan raya negeri (PRN).
“Apabila diadakan pilihan raya dan jika parti mereka menang, kepimpinan parti yang diterajui oleh kluster mahkamah akan dilihat semakin kuat dan berpengaruh.”
MalaysiaNow sebelum ini melaporkan kem Zahid dalam Umno sedang merancang untuk mencetuskan siri PRN sebelum menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang dijangka akan diadakan pada Julai depan.
Menurutnya, strategi tersebut bermula selepas BN menang PRN Melaka tahun lalu.
“Kerana itu kumpulan ini telah merancang pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor untuk diadakan PRN Johor.
“Mereka memilih Johor kerana Johor dikatakan negeri kubu kuat Umno. Jika parti mereka menang PRN Johor, mereka akan mendesak perdana menteri untuk membubarkan Parlimen supaya PRU pula dapat diadakan.
“Hanya satu cara untuk mengalahkan kluster mahkamah iaitu dengan memastikan BN kalah dalam PRN Johor,” kata Muhyiddin.