Siasatan yang dilancarkan Suruhanjaya Sekuriti (SC) terhadap AirAsia dua tahun lalu berkait skandal rasuah antarabangsa sehingga menyebabkan penahanan bekas ketua pengarah eksekutif (CEO) di sekurang-kurangnya dua negara dilihat seperti masih belum ditutup, MalaysiaNow difahamkan.
Pada 3 Februari 2020, SC mengumumkan ia akan menjalankan siasatan terhadap AirAsia tiga hari selepas pendakwa raya di UK menamakan syarikat penerbangan tambang murah itu bagi penyelesaian sebanyak AS$4 bilion dalam rundingan penyelesaian dengan Airbus, berhubung tuduhan syarikat pembuatan kapal terbang itu memberikan rasuah kepada pegawai kerajaan di seluruh dunia bagi memastikan tempahan pembelian kapal terbang buatannya.
Selain itu, Serious Fraud Office (SFO) di Britain berkata Airbus membayar rasuah sebanyak AS$50 juta untuk mendapatkan tempahan pesawat dari AirAsia.
Dalam maklum balasnya berhubung perkara itu, SC berkata perincian yang didedahkan dalam kes terhadap Airbus itu mendapati “beberapa tuduhan terhadap AirAsia Group Bhd dan AirAsia X Bhd”.
“Kerana kedua-duanya disenaraikan dalam Bursa Malaysia, kami akan meneliti dakwaan berkenaan dan menyemak semua bukti yang ada untuk menentukan sama ada berlaku sebarang pelanggaran undang-undang sekuriti,” kata Pengerusi SC Syed Zaid Albar sebelum ini.
Ketika dihubungi berhubung status siasatan tersebut, SC hanya menjawab ringkas.
“SC tidak boleh memberikan sebarang ulasan berhubung siasatan tersebut,” kata jurucakap badan penguatkuasa undang-undang modal pasaran itu kepada MalaysiaNow.
SFO menuduh rasuah sebanyak AS$50 juta dari Airbus tersebut adalah dalam bentuk tajaan terhadap pasukan sukan yang dimiliki dua orang yang dinamakan sebagai “Eksekutif 1” dan “Eksekutif 2” dalam AirAsia.
“Eksekutif 1 dan Eksekutif 2 AirAsia adalah penentu keputusan dalam AirAsia dan AirAsia X, mereka menerima ganjaran berikutan tempahan sebanyak 180 pesawat dari Airbus. Pembayaran kepada pasukan sukan itu bertujuan untuk mendapatkan atau memberi ganjaran terhadap bantuan tidak wajar oleh mereka berkenaan urus niaga tersebut,” kata SFO dalam dokumen mahkamah yang dilihat MalaysiaNow.
Susulan itu, CEO AirAsia Group Tony Fernandes dan Pengerusi Eksekutifnya, Kamarudin Meranun mengumumkan mereka meletakkan jawatan selama tempoh siasatan dilakukan, namun berkata kekal menjadi penasihat kumpulan itu sepanjang dua bulan tempoh siasatan.
Syarikat itu turut mengumumkan siasatan dalaman yang dianggotai pengarah bukan eksekutif syarikat.
Jawatankuasa siasatan itu kemudiannya membersihkan Fernandes dan Kamarudin, dan kedua-duanya kembali menduduki jawatan pada 20 Mac 2020.
Namun, ketika siasatan dalaman AirAsia membersihkan dua bos syarikat itu, dua individu yang mengetahui tentang isu itu memberitahu MalaysiaNow mereka tidak mendengar apa-apa dari SC berhubung siasatan tersebut.
“Senyap sejak daripada pengumuman siasatan tersebut dijalankan,” kata salah seorang daripada mereka.
Beberapa tindakan mahkamah di Sri Lanka, Indonesia
Skandal rasuah itu mencetuskan siasatan di seluruh dunia, di mana pihak berkuasa Sri Lanka dan Indonesia mendakwa dua CEO syarikat penerbangan dan dijatuhkan hukuman penjara.
Beberapa hari selepas perincian skandal itu didedahkan pada awal Februari 2020, pihak berkuasa Sri Lanka menahan bekas CEO SriLankan Airlines Kapila Chandrasena, dan isterinya Priyanka Niyomali Wijenayaka.
Mereka berdua didakwa menerima rasuah sebanyak AS$2 juta berhubung perjanjian pembelian 10 pesawat SriLankan Airlines.
Empat bulan kemudian, mahkamah Indonesia menjatuhkan hukuman penjara terhadap bekas CEO Garuda Indonesia Emirsyah Satar atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkait pemerolehan beberapa pesawat dan enjin dari Airbus dan Rolls-Royce.