Peguam negara Singapura mengemukakan permohonan tuduhan menghina mahkamah terhadap peguam hak asasi manusia M Ravi, kata NGO Lawyers for Liberty (LFL) hari ini ketika beberapa percubaan sedang dilakukan untuk menyelamatkan dua banduan kurang upaya (OKU) mental daripada menjalani hukuman mati di tali gantung.
LFL berkata permohonan yang dikemukakan terhadap Ravi semalam didakwa berdasarkan kelakuannya sepanjang pengendalian dua kes pada November tahun lalu.
Kumpulan peguam itu juga turut mempersoalkan dakwaan peguam negara Singapura yang antara lain mengatakan Ravi bersikap “biadab” terhadap mahkamah.
“Ini adalah alasan yang tidak masuk akal bagi menuduh peguam bela menghina mahkamah,” kata LFL dalam sebuah kenyataan dikeluarkan Zaid Malek yang merupakan ketua koordinatornya.
“Ini bukan kali pertama peguam negara Singapura menggunakan taktik intimidasi dalam percubaan yang bukan sahaja untuk menganiaya Ravi bahkan bagi menyekat mana-mana peguam Singapura daripada meneruskan cabaran di mahkamah berkenaan hukuman mati di negara itu.”
Zaid turut berkata tuduhan menghina mahkamah itu dilihat hanya diambil ketika Ravi sedang mengendalikan kes warga Singapura Roslan Bakar dan Pausi Jefridin dari Malaysia sekali gus menimbulkan “kebingungan dan kecurigaan.”
Dua banduan bilik akhir itu dijadualkan menjalani hukuman mati di atas kesalahan menyeludup dadah ke Singapura yang memiliki undang-undang keras terhadap kesalahan berkait dadah.
Undang-undang Singapura menerima kritikan pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengatakan hukuman mati bagi kesalahan dadah tidak selari dengan undang-undang hak asasi antarabangsa.
Kebimbangan turut dibangkitkan berhubung laporan perubatan banduan OKU mental di mana penetapan hukuman mati ke atas golongan itu adalah dilarang di bawah undang-undang Singapura dan perjanjian antarabangsa.
Roslan dan Pausi menerima penangguhan hukuman selepas perintah tangguh dikeluarkan Presiden Singapura Halimah Yacob pada 17 Februari lalu.
LFL berkata Ravi, peguam Violet Netto dan Charles Yeo merupakan barisan hadapan dalam usaha mempertahankan hak asasi di Singapura.
“Sekatan bersifat punitif terhadap peguam ketika menjalankan tugas mereka adalah satu tindakan yang menjijikkan di mana ia bercanggah dengan norma-norma hak asasi antarabangsa,” katanya.
“Sistem kehakiman yang adil dan mengangkat kedaulatan undang-undang mesti memasukkan perlindungan terhadap peguam bagi menjalankan tugas-tugas mereka dalam mewakili anak guam. Ia adalah prinsip yang tidak boleh diganggu-gugat, dan diiktiraf dalam Prinsip Asas PBB mengenai Peranan Peguam yang diterima pakai sejak 1990, di mana antara lain menyebut kerajaan mesti memastikan peguam boleh melaksanakan peranan profesional mereka tanpa sebagai intimidasi, halangan, gangguan dan campur tangan yang tidak wajar.”
LFL turut berkata Perlembagaan Singapura juga turut mengiktiraf hak individu untuk dibela oleh pengamal undang-undang yang dipilihnya.
“Bagaimanapun, kerajaan Singapura telah melanggar hak-hak ini seperti penganiayaan yang dilakukan terhadap Ravi di mana ia dikira sebagai percubaan untuk menghalang atau melarang beliau daripada mewakili OKU mental Malaysia Nagaenthran dan Pausi dalam usaha mencabar sabitan hukuman mati terhadap mereka,” katanya merujuk kes Nagaenthran K Dharmalingam yang menarik perhatian antarabangsa dan menyebabkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Yang di-Pertuan Agong, dan taikun Britain Richard Branson menulis surat rayuan supaya dia diberikan pengampunan.
LFL turut mendesak kerajaan Singapura dan peguam negara itu untuk menarik semula prosiding komital terhadal Ravi, selain turut menggesa pihak berkuasa republik itu menghentikan “semua intimidasi dan penganiayaan terhadap beliau dan menegakkan kedaulatan undang-undang dalam proses sistem keadilan jenyahnya”.
“Sudah cukup buruk bagi Singapura yang dilihat menyasarkan hukuman mati terhadap keldai dadah seperti Nagaenthran dan Pausi; lebih menambah buruk mereka juga dinafikan hak asasi untuk diwakili peguam.”