- Iklan -
Berita

Mahkamah Singapura tolak rayuan hukuman mati Nagaenthran

Peguam M Ravi berkata Nagaentran mungkin menjalani hukuman gantung dalam tempoh beberapa hari lagi.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Nagaenthran K Dharmalingam dijatuhkan hukuman mati di Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010.
Nagaenthran K Dharmalingam dijatuhkan hukuman mati di Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010.

Mahkamah Rayuan Singapura hari ini menolak rayuan Nagaenthran K Dharmalingam terhadap hukuman matinya, menyifatkan rayuan yang dikemukakan itu sebagai penyalahgunaan proses mahkamah.

Ketua Hakim Singapura Sundaresh Menon juga berkata cabaran terhadap keputusan terdahulu dalam kes Nagaenthran dan permohonan untuk menangguhkan prosiding bagi penilaian psikiatri juga turut ditolak, lapor AFP.

Peguam Nagaentran M Ravi berkata mahkamah juga turut memutuskan bahawa undang-undang antarabangsa tidak terpakai dalam kes banduan bilik akhir warga Malaysia itu.

“Nagaenthran, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental, akan dihukum gantung, mungkin dalam beberapa hari akan datang,” katanya dalam sebuah hantaran Facebook hari ini.

Nagaenthran yang kini berusia 34 tahun ditahan pada 2009 kerana mengedar sejumlah kecil heroin ke Singapura, yang mempunyai peruntukan undang-undang dadah paling keras di dunia di mana dia dijatuhkan hukuman mati mandatori pada tahun berikutnya.

Penyokong Nagaenthran berkata lelaki yang mempunyai skor IQ 69 – di bawah nilai ambang 70 yang membolehkan seseorang itu diisytihar sebagai OKU – dipaksa melakukan jenayah tersebut.

Dia dijadualkan menjalani hukuman gantung pada November tahun lalu di mana ia mencetuskan kritikan ramai ekoran statusnya sebagai seorang OKU mental.

Selain Kesatuan Eropah (EU) yang mengkritik hukuman berkenaan, taikun syarikat penerbangan Britain Richard Branson juga turut mengecam keputusan mahkamah itu.

Aktivis Singapura Kirsten Han, yang aktif mengkritik peruntukan hukuman mati di republik itu berkata mahkamah memutuskan bahawa tiada fakta asas untuk membenarkan Nagaenthran untuk dinilai oleh panel psikiatri bebas, dan afidavit abang dan bekas peguamnya ditolak kerana mereka tidak boleh dikatakan sebagai “pihak yang tidak berkepentingan”.

“Mereka juga berkata afidavit daripada peguam dan abangnya bercanggah dengan keterangan daripada pegawai penjara yang bertanggungjawab ke atas Nagaenthran,” katanya dalam sebuah ciapan Twitter.

Memandangkan pegawai penjara itu tidak mempunyai kepentingan untuk melihat Nagaenthran dihukum mati, beliau berkata, mahkamah menyatakan tiada sebab untuk tidak mempercayainya.

“Mahkamah juga menyatakan bahawa Akta Penyalahgunaan Dadah adalah ‘jelas’ berkaitan menetapkan hukuman mati mandatori (melainkan syarat tertentu dipenuhi),” katanya.

“Jika peguam mempunyai pendirian yang lain berkenaan hukuman mati, ‘jalan lain yang sepatutnya diambil adalah untuk mendapatkan perubahan perundangan’.”