- Iklan -
Berita

Pejuang akan ambil haluan sendiri, kata Dr Mahathir selepas kalah PRN Johor

Mahathir mendakwa Muhyiddin meminta sokongan Pejuang untuk memberi laluan kepadanya menjadi perdana menteri sekali lagi.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan Pejuang akan mengasingkan diri supaya tidak terpalit dengan parti lain, selepas mengesahkan satu pertemuan antara dirinya dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bagi mendapatkan sokongan.

Menurut pengerusi pejuang itu, partinya itu akan mengambil haluan sendiri selepas kalah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan kesemua 42 calon Pejuang kehilangan deposit bertanding.

“Ramai orang mungkin tak suka parti itu sebab berbangsa lain dan sebagainya.

“Sebab tu, kita asingkan diri kita dengan parti-parti lain supaya tak terpalit kepada kita,” katanya dalam sidang media Yayasan Al-Bukhari hari ini.

Dalam pada itu, Mahathir berkata beliau tidak pasti mengapa bekas sekutunya itu bertindak sedemikian memandangkan pejuang hanya satu parti politik yang tidak kuat dan baru sahaja berdepan kekalahan dalam siri pilihan raya negeri di Johor dan Melaka.

“Kita tak kuat, tak ada duit tapi tanya kita untuk sokong dia (Muhyiddin).

“Saya tak tahu nak cakap apalah, sebab saya tak jadi perdana menteri kerana Muhyiddin tikam belakang.

“Sekarang, orang yang dia tikam belakang tak mati lagi. Dia (pula) datang nak minta tolong,” katanya.

Semalam, media melaporkan Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan Mahathir bagi mengemukakan cadangan gabungan parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mukhriz juga mengakui hubungan bapanya dengan pemimpin Bersatu itu agak “dingin” selepas krisis yang berlaku sebelum ini.

Pertemuan itu dipercayai menjadi perjumpaan kali pertama melibatkan kedua-dua pemimpin tersebut selepas Langkah Sheraton yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada awal 2020.

Ketika ditanya adakah terdapat faktor lain yang membolehkan Pejuang bekerjasama dengan Bersatu, Mahathir sekadar tersenyum.

Mahathir berkata, Muhyiddin bukan seorang perdana menteri yang baik selama memegang jawatan itu menyebabkan beliau sukar mendapat sokongan daripada pihak-pihak tertentu.

“Kalau dia buat sesuatu yang besar untuk Malaysia, tak minta pertolongan saya pun dia boleh menang.”

Beliau turut menambah Pejuang masih belum membuat sebarang keputusan untuk membentuk gabungan baru bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini kerana, katanya, ia sukar dilaksanakan mengambil kira terdapat pihak yang mungkin tidak suka dengan parti-parti komponen sekiranya gabungan dibentuk.

Walaubagaimanapun, Mahathir menegaskan pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan parti politik yang menentang rasuah dan sogokan ketika musim pilihan raya.

Beliau merujuk punca kekalahan parti pada PRN sebelum ini yang didakwa berpunca daripada kegiatan merasuah pengundi melibatkan wang tunai kira-kira RM200 hingga RM300.

Menurutnya, perkara itu berlaku sehingga sampai ke satu tahap para pengundi akan bertanya berapakah wang tunai yang akan diberi sekiranya mereka memberikan undi.

“Ini bukan seorang dua yang tanya. Tapi ramai. Kita tak ada duit nak bagi, kita parti nak lawan rasuah.

“Kita nak menang sebab orang sokong kita bukan sebab kita beri duit.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.