- Iklan -
Berita

Penumpang luar negara AirAsia bersatu tuntut ganti rugi tiket penerbangan

Penumpang dari beberapa negara berkata mereka menunggu selama dua tahun namun tidak pernah menerima bayaran balik dari syarikat penerbangan tambang murah itu.

Azzman Abdul Jamal
4 minit bacaan
Kongsi
Ibu pejabat syarikat penerbangan tambang murah Air Asia di Sepang.
Ibu pejabat syarikat penerbangan tambang murah Air Asia di Sepang.

Beberapa penumpang AirAsia X dari luar negara meluahkan rasa kecewa apabila masih tidak menerima bayaran balik tiket penerbangan yang dibatalkan pada 2020 akibat sekatan pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19.

Bagi memperjuangkan nasib mereka, sebuah pertubuhan ditubuhkan bagi memastikan syarikat tambang murah itu bertanggungjawab terhadap penumpang dari pelbagai negara itu.

Bercakap dengan MalaysiaNow, mereka turut merasakan hak sebagai pengguna diabaikan apabila hanya mampu berinteraksi dengan AirAsia menerusi AVA – chatbot berasaskan kecerdasan buatan (AI) – dan bukannya pegawai atau wakil daripada syarikat penerbangan tambang murah itu.

Keadaan ini menyebabkan Katherine O’Brien 62 dari Sydney, Australia berasa sangat kecewa dengan layanan yang diterima sedangkan dia menganggap diri sebagai penumpang setia AirAsia kerana sering menggunakan perkhidmatan mereka sejak 10 tahun lalu sekiranya ingin mengembara ke Jepun, Malaysia atau ke negara-negara lain.

Katanya, syarikat penerbangan itu sering menjadi antara pilihan utamanya disebabkan tawaran harga yang rendah selain tidak pernah berdepan masalah yang dianggap menyusahkan dirinya.

O’Brien memaklumkan dia membeli dua tiket pergi balik dari Sydney ke Kuala Lumpur bernilai A$2,010 (RM6,352) dan penerbangannya dijadualkan pada Jun 2020.

“Saya mula gunakan perkhidmatan AirAsia sejak mereka masih baru di Sydney,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Saya sangat kecewa dengan layanan mereka kepada penumpang. Kami dibiarkan dalam keadaan terawang-awang, tidak tahu sama ada akan terima semula wang bayaran balik tiket penerbangan yang telah dibeli.”

Seorang lagi penumpang dari Sydney, Glenn Bruce Andrew Priere, 51, meluahkan rasa terkejut apabila kesnya aduan yang difailkan ke AirAsia ditandakan sebagai “selesai” sedangkan dia masih tidak menerima bayaran balik 6 tiket penerbangan yang dibeli pada harga A$1,600 (RM5,056).

Menurutnya, tiket penerbangan dua hala yang dari Manila ke Taipei itu sepatutnya berlepas pada 6 April 2020, namun disebabkan penularan Covid-19 di Australia, penerbangannya dibatalkan apabila sempadan antarabangsa negara itu ditutup.

Dia turut kecewa aduan yang difailkan kepada Pihak Berkuasa Keselamatan Penerbangan Awam Australia (Casa) ditolak memandangkan ia tidak melibatkan syarikat penerbangan Australia manakala aduan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) juga tidak mendatangkan hasil dan diminta supaya berhubung dengan AirAsia Filipina.

“Setahu saya, apabila kes disifatkan sebagai ‘selesai’ ia bermakna pengadu sudah terima wang mereka semula,” katanya dan memaklumkan ini kali pertama dia menggunakan perkhidmatan AirAsia.

“Bayaran bagi tempahan tiket Philippine Airlines dari Sydney ke Filipina berjumlah A$3,400 (RM10,745) dipulangkan dalam tempoh setahun oleh syarikat penerbangan Filipina itu, bagaimanapun, kami masih tidak menerima bayaran balik tiket penerbangan dari AirAsia.”

Katanya, situasi ini menyebabkan dia enggan lagi menggunakan perkhidmatan AirAsia, malah turut menasihati ahli keluarga dan rakan-rakannya melakukan perkara sama.

“Duit yang saya guna untuk membeli tiket itu adalah hasil titik peluh saya sendiri.

“Kini saya lagi rela membayar lebih untuk mengembara menaiki penerbangan dari syarikat lain,” katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.

Penumpang dari Filipina, Rose Marie Jane Rementina, turut meluahkan rasa keliru apabila dia juga dimaklumkan bayaran balik tiket penerbangan dari Filipina ke Taipei berjumlah 12,500 Filipina peso “selesai”, namun akaun di banknya menunjukkan sebaliknya.

Katanya, dia berasa kecewa apabila usaha untuk menghubungi pihak AirAsia tidak mendatangkan hasil apabila tiada maklum balas diterima berhubung perkara itu.

“Apabila penerbangan pada 11 Mac 2020, saya failkan permohonan bayaran balik sebelum Filipina melaksanakan sekatan pergerakan, malah saya tegaskan bahawa saya hanya mahu bayaran balik menerusi cara pembayaran asal berbanding kredit.

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan proses ini akan memakan masa 30 hingga 60 hari, tetapi sekarang sudah lebih dua tahun dan wang saya masih belum diterima,” katanya.

Bagi Rashid Mundeth dari India yang kini menetap di Malaysia, isu yang dihadapinya bukanlah melibatkan bayaran balik tiket, sebaliknya permohonan untuk melanjutkan pakej “Unlimited Pass” yang dibeli pada Februari 2020, kira-kira sebulan sebelum kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan di Malaysia.

Unlimited Pass merupakan tawaran pakej oleh AirAsia X membolehkan penumpang mengembara ke Australia, Jepun, Korea, China dan India tanpa had dengan bayaran RM499 sekali bayar.

Bagaimanapun, Rashid memaklumkan dia langsung tidak dapat menggunakan pas itu memandangkan Malaysia melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac 2020 dan pembukaan sempadan antarabangsa hanya dilaksanakan tahun ini.

“Walaupun AirAsia menawarkan lanjutan bagi pemegang pas Unlimited Pass sehingga Jun 2021, saya masih tidak boleh gunakan perkhidmatan itu kerana penerbangan antarabangsa masih tidak dibenarkan.

“Kini saya mohon untuk lanjutan pas itu namun gagal apabila AirAsia memaklumkan bahawa bayaran tidak boleh dikembalikan,” katanya.

Disebabkan ramai dalam kalangan penumpang AirAsia masih berusaha mendapatkan semula wang mereka, Harmeet Singh dari Sydney mula melaksanakan inisiatif menghimpunkan penumpang AirAsia dari pelbagai negara untuk sama-sama perjuangkan hak mereka.

Harmeet berkata, kumpulan itu dinamakan AirAsia Citizens Action dan sejak inisiatif itu mula dilaksanakan tiga minggu lalu, dia sudah berjaya mengumpul 82 penumpang dengan nilai bayaran balik terkumpul dalam kalangan kumpulan itu adalah kira-kira RM300,000.

“Mereka adalah dari Australia, Jepun, Malaysia, Filipina dan Vietnam. Daripada 82 penumpang ini, 74 menyatakan bahawa mereka mahukan bayaran balik dan bukannya kredit,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Semua penumpang ini laksanakan segala yang mereka mampu tetapi gagal mendapatkan semula duit mereka.”

Dalam pada itu, Harmeet turut mempersoalkan etika perniagaan AirAsia serta pendirian suruhanjaya penerbangan kerana membiarkan isu ini berlanjutan sehingga ke hari ini.

“Tidak kira saluran mana kami guna untuk bangkitkan isu berkaitan bayaran balik, ia hanya akan merujukkan kami kepada pautan yang menceritakan mengenai amalan POD (Proof of Debt).

“Selain itu tiada maklum balas yang betul-betul membantu penumpang menyelesaikan isu ini,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Harmeet menjangkakan ahli kumpulan itu akan terus meningkat apabila semakin ramai sudah mula hilang sabar terhadap isu tersebut.

“Pastinya mereka tidak mahu berputus asa dan terus berjuang. Bukan sahaja didorong oleh faktor kewangan, tetapi juga disebabkan faktor moral.

“Keadaan ini ibarat seseorang sudah mengambil wang kami dan kami tidak terdaya untuk melakukan apa-apa,” katanya.

MalaysiaNow sudah menghubungi AirAsia untuk mendapatkan maklum balas.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.