- Iklan -
Berita

Dulu berkhidmat sebagai askar wataniah, kini jadi gelandangan Kuala Lumpur

Perkhidmatan Ruslan sebagai askar wataniah dihentikan pada 2014 selepas menghidap radang paru-paru.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Ruslan duduk di sebuah perhentian bas di Kuala Lumpur menyaksikan hujan yang turun.
Ruslan duduk di sebuah perhentian bas di Kuala Lumpur menyaksikan hujan yang turun.

Dia tidak pernah menduga, harinya akan bermula dengan bangun tidur dari kaki lima unit-unit kedai di Jalan Tun Tan Siew Sin di Kuala Lumpur yang mula hingar-bingar dengan bunyi mangga kunci dan gril pintu dibuka.

Beberapa tahun lalu, hidup Ruslan (bukan nama sebenar) 46, penuh dengan rutin dan disiplin ketenteraan.

Dia berkhidmat sebagai askar wataniah di Taiping, Perak sejak 2002 sebelum diarahkan bertukar ke sebuah kem di Seksyen 16, Shah Alam dari 2004 hingga 2014.

Tidak sehingga dia disahkan menghidap penyakit radang paru-paru tahap tiga yang menyebabkan perkhidmatannya dihentikan serta merta.

Ruslan cuba mencari punca pendapatan baru sebagai pembantu di sebuah restoran terletak di Cheras, Kuala Lumpur.

Namun, dia risau jika bayaran pencen ilat yang diberikan oleh kerajaan disekat jika mengetahui dia mempunyai kerja dan menerima gaji bulanan yang lain.

Pencen ilat ialah sejenis bayaran yang diberikan kepada individu yang layak selepas disahkan tidak sihat dan tidak berupaya untuk bekerja oleh jemaah doktor berdaftar.

Sebelum menjadi gelandangan, Ruslan menyewa bilik di Setapak.

Bagaimanapun, kadar bayaran ilat sebanyak RM450 sebulan tidak mencukupi untuk menyara dirinya di ibu kota yang makin pesat membangun dan serba-serbi mahal.

“Saya tak mampu bayar bilik harga RM400. Apa saya boleh makan?

“Memang tak pernah terfikir nak tidur di tepi jalan. Saya pernah cuba dapatkan bantuan zakat di UTC, tapi ditolak,” katanya kepada MalaysiaNow.

Ruslan berkata, dia amat meminati bidang ketenteraan dan cita-citanya dari kecil untuk menjadi seorang askar.

Dalam kem askar wataniah, dia pernah dinaikkan pangkat dari prebet ke lans koperal pada tahun 2010.

Namun, penyakitnya merubah segala-galanya.

Dia masih menyimpan hasrat untuk berkhidmat dalam unit itu walaupun di sebalik meja pengurusan dan kerani.

Ruslan kini menerima rawatan di Klinik Kesihatan Tanglin di Jalan Cenderasari, Kuala Lumpur dengan menaiki bas awam.

Kos rawatannya percuma tetapi dia perlu menampung kos pengangkutan dan makan minum akibat berjalan jauh.

Kata Ruslan, mujurlah kehadiran beberapa orang ramai yang baik hati dan aktivis dari badan bukan kerajaan (NGO) menghulurkan bantuan makan dan keperluan asas seperti sabun, syampu, ubat nyamuk dan air minuman untuknya mengisi perut serta membersihkan diri.

Atas sebab itu, dia memilih untuk kekal berada di lorong itu.

Bagaimanapun, bantuan tersebut tidak diagihkan setiap hari.

Ini menyebabkan, Ruslan harus mengeluarkan belanja untuk makan minum dan persiapan diri.

Terutama sekali ketika wabak Covid-19 sedang menggila sejak dua tahun lalu.

Pada waktu siang, di mana sektor ekonomi sedang berjalan dengan kehadiran pengunjung dan pelancong, Ruslan cuba menyesuaikan dirinya dengan masyarakat di hadapannya.

Tiada siapa yang mengetahui status kehidupannya sekarang sebagai seorang gelandangan termasuk ahli keluarganya di kampung.

Katanya, sejak dua tahun lalu sewaktu negara dilanda pandemik, hidupnya lebih tertekan kerana tidak dapat pulang ke kampung dan terputus hubungan dengan ibunya.

Ruslan merupakan anak ke-12 dari 15 adik beradik.

Katanya dia tidak sanggup untuk memberitahu perkara sebenar kepada keluarga kerana khuatir keluarga tidak boleh menerima status dirinya sebagai gelandangan dan terus meminggirkannya.

“Jika diberi peluang, saya memang mahu perubahan hidup. Nak dapat hidup normal macam orang lain.

“Ada kerja, ada duit bulan-bulan dan tempat tinggal. Saya memang sedih, tapi saya redha dengan ketentuan ini.”

Ruslan pernah mencuba untuk mencari kerja kosong di sekitar ibu kota tanpa mementingkan kadar bayaran upah dan gaji asalkan boleh menampung kos sewa bilik, namun selepas memikirkan bayaran ilat yang diterimanya, dia tersekat untuk meneruskan hasratnya.

“Kalau mereka (kerajaan) tahu saya kerja, ada duit gaji lain. Duit ilat saya akan disekat. Bagaimana saya nak hidup?

“Sakit macam saya, tak boleh kerja berat. Setakat kerja sampingan sahaja. Bayaran pun tak tinggi. Kalau hilang duit ilat, saya lagi susah.

“Tapi, kalau bergantung dengan duit ilat sahaja, tak cukup untuk saya jalani hidup macam orang lain,” katanya.

MalaysiaNow mengikuti Ruslan berjalan di sekitar lorong Tun Tan Siew Sin.

Dengan menggalas sebuah beg berisi pakaian dan sedikit makanan, dia berjalan tanpa arah tujuan.

Sekadar memerhati orang-orang di sekeliling dan kenderaan yang lalu lalang.

Apabila masuk waktu solat, Ruslan banyak menghabiskan masanya di masjid untuk beribadah.

Dia suka melihat hujan kerana dapat mengubati rindunya kepada ibu di kampung halaman.

Katanya, sudah agak lama dia tidak menghubungi ibunya untuk bertanya khabar.

Ketika ditanya, apakah sebab yang menyebabkan beliau tidak menelefon ibunya, Ruslan enggan mengulas lanjut.

Dia hanya berkata, besar hasratnya untuk mendapat sedikit wang dan membeli tiket bas untuk pulang ke Taiping, Perak.

Di sana, dia mahu bersua muka dengan ibunya dan berkumpul dengan adik beradik buat beberapa hari selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Lepas tu, mungkin saya akan kembali semula ke Kuala Lumpur. Hidup saya di sini sampailah saya jumpa hidup baru dan nikmati hidup normal macam orang-orang lain.”