Debat yang dijadualkan berlangsung pada malam ini antara Najib Razak dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dilihat memberi perhatian yang tidak perlu kepada kedua-dua tokoh tersebut, terutamanya kepada bekas perdana menteri itu yang sudah dijatuhkan hukuman bersalah dan kini dalam proses menunggu rayuan, kata penganalisis.
Kedua-dua pemimpin politik itu bertikam lidah di media sosial berhubung isu syarikat tenaga tempatan, Sapura Energy yang mengalami masalah kewangan baru-baru ini sebelum bersetuju untuk berdebat.
Debat itu dianjurkan susulan kritikan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli terhadap Najib kerana mencadangkan kerajaan membantu Sapura yang baru-baru ini mengumumkan kerugian sebanyak RM8.9 bilion, selain mencadangkan pengambilalihan Petronas ke atas syarikat tersebut.
Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan debat itu gagal menimbulkan keterujaan ramai di mana pemerhati politik mempersoalkan kerelevanan debat antara mereka berdua memandangkan hala tuju politik mereka yang semakin jauh dari kerusi kuasa.
Najib, yang berdepan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah berhubung kes SRC International dilihat terdesak mencari platform untuk kekal relevan dalam arena politik tempatan.
Anwar pula berdepan masalah kredibiliti dan kepercayaan apabila PKR kalah teruk dalam beberapa siri pilihan raya negeri yang diadakan.
Pencalonan beliau sebagai perdana menteri Pakatan Harapan (PH) juga menjadi pertikaian antara parti-parti komponen.
Menurut pemerhati politik Azizi Safar, debat itu hanyalah peluang kepada kedua-dua ahli politik untuk mencari sokongan dan perhatian.
“Comeback? Bukan untuk Najib selagi hukuman penjara tidak dibatalkan oleh mahkamah.
“Bagi Anwar pula, dia tidak pernah berkuasa sejak dipecat oleh Umno pada 1998 semasa menjadi timbalan perdana menteri,” katanya kepada MalaysiaNow.
Bekas setiausaha Barisan Nasional Pulau Pinang itu menjangkakan tidak ramai yang akan berminat dengan debat tersebut.
“Status bekas banduan dan bakal banduan, tidak relevan. Debat berlaku kerana kegelojohan Najib mengheret Anwar ke dalam masalah dia dengan Rafizi,” katanya merujuk kepada bekas ahli Parlimen Pandan itu.
Ujarnya sinis, Najib sepatutnya menghantar bekas pegawainya, Isham Jalil untuk berdebat dengan Rafizi dan bukannya membawa Anwar yang sememangnya menunggu peluang berdebat dengan Najib.
Najib ketika menjadi perdana menteri pernah mengelak cabaran berdebat ketika pilihan raya menjelang, dengan menyatakan debat bukan budaya politik Malaysia.
Bagaimanapun, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis berkata, debat dan hukuman yang diterima Najib merupakan dua perkara berbeza.
Debat tersebut katanya, menjurus kepada pertukaran idea dan pandangan terhadap topik perdebatan.
“Perdebatan Najib-Anwar adalah yang terbaik berdasarkan pengalaman, kredibiliti dan autoriti mereka yang pernah menjari menteri kewangan, perdana menteri, dan timbalan perdana menteri,” katanya kepada MalaysiaNow.
Tambah Muis, terpulang kepada mana-mana ahli politik sama ada ingin membabitkan diri dengan Najib.
Sementara itu, di Sarawak, debat itu dijangka tidak menarik minat ramai pihak.
Naib Presiden Parti Bumi Bersatu (PBB) Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia hanya terhad kepada politik Semenanjung.
“Saya tidak boleh komen banyak mengenai debat ini, ia politik Semenanjung.
“Jika mereka rasa berdebat boleh membantu perjuangan politik mereka, biarlah,” katanya kepada MalaysiaNow.
Ujarnya, GPS tidak akan memihak kepada mana-mana individu.
Sentimen itu turut dikongsi beberapa pimpinan politik Sarawak lain antaranya ketua pemuda Parti Rakyat Sarawak, Snowdan Ladan.
“Saya hanya akan ‘beli’ popcorn,” katanya dan menambah, Sarawak sukar membaca atau memahami politik Semenanjung.