RAM Holdings hari ini meluluskan usul yang bakal membenarkan entiti tunggal memiliki agensi penarafan kredit itu selepas mesyuarat agung tahunannya (AGM) menyokong dengan majoriti besar bagi pindaan kontroversi perlembagaan syarikat itu.
Sebanyak 93.86% ahli menyokong pemindaan satu klausa dalam perlembagaan syarikat itu bagi memansuhkan larangan terhadap sebarang entiti tunggal memiliki lebih 20% saham dalam agensi penarafan itu.
MalaysiaNow difahamkan sekurang-kurangnya dua institusi kewangan, termasuk sebuah bank tempatan, membantah usul pindaan itu.
Usul untuk meminda klausa tersebut dibuat oleh CTOS Digital, satu lagi agensi penarafan kredit yang berkait dengan Brahmal Vasudevan melalui firma ekuitinya, Creador.
Langkah itu kali pertama dilaporkan oleh MalaysiaNow minggu lalu selepas melihat notis AGM, di mana ia menimbulkan tanda tanya dalam pasaran modal di sebalik rancangan CTOS Digital untuk memiliki majoriti saham dalam syarikat tersebut.
CTOS mendapat kebenaran bagi meneruskan rancangannya itu daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Langkah meminda klausa pada AGM hari ini dilihat sebagai halangan terakhir dalam usahanya mengambil alih RAM.
Antara kebimbangan dalam pasaran ialah berhubung kebebasan dan kredibiliti RAM sebagai agensi penarafan yang selama ini merupakan rujukan institusi kewangan dalam negara ini akan dipertikaikan jika ia dikawal oleh satu entiti.
Dalam maklum balas RAM terhadap laporan MalaysiaNow, agensi itu menafikan kebimbangan yang dibangkitkan, menegaskan terdapat beberapa langkah “perlindungan” utama yang dirangka oleh SC.
“SC tidak akan memberikan kelulusan kepada mana-mana pihak untuk menjangkaui had yang ditetapkan ini jika ia dilihat memudaratkan kepentingan utama agensi penarafan kredit dan pasaran bon,” kata Ketua Pegawai Eksekutif RAM Holdings Chris WK Lee.
RAM ditubuhkan oleh Bank Negara pada 1990 bagi menyokong pasaran modal tempatan, dan dianggap sebagai peneraju industri dalam penarafan kredit.
Sejak ditubuhkan, pendapat kreditnya menjadi rujukan penting bagi bank serta pengawal selia kewangan.
Beberapa pengurus dana dan jurubank turut menyatakan kebimbangan terhadap cadangan menaikkan had pemilikan saham dalam agensi itu, di mana mereka mendakwa berlaku usaha “melemahkan RAM secara berperingkat” sejak beberapa tahun lalu, merujuk kepada entiti bukan perbankan dan asing yang membentuk lebih 10 pemegang saham dalam agensi itu.
Kebimbangan itu turut bertambah selepas mereka mendapati wujud potensi konflik kepentingan beberapa individu dalam CTOS.
“Kita tahu bahawa sekurang-kurangnya seorang pengarah bebas bukan eksekutif CTOS mempunyai kedudukan dalam ahli lembaga pengarah SC,” kata penganalisis pasaran modal kepada MalaysiaNow.
“Justeru, apabila hanya CTOS yang diberikan kebenaran untuk memiliki pegangan lebih 51% dalam RAM, ia bukan sahaja sebuah konflik, tetapi juga membunuh integriti sektor kewangan Malaysia, terutama apabila laporan kreditnya mempunyai implikasi dalam pasaran bon.”