- Iklan -
Berita

Hanya 40% belia Melayu keluar undi jika PRU15 diadakan sekarang, kata kajian

Menurut Merdeka Center, nilai peratusan itu adalah rendah memandangkan golongan belia merangkumi kira-kira 58% daripada pengundi secara keseluruhan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Belia beratur menunggu giliran mengundi pada Pilihan Raya Negeri Johor Mac lalu.
Belia beratur menunggu giliran mengundi pada Pilihan Raya Negeri Johor Mac lalu.

Kajian sebuah badan tinjauan bebas mendapati hanya 40% belia Melayu di Malaysia memilih untuk keluar mengundi sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

Menurut Merdeka Center, ini merupakan nilai peratusan yang rendah memandangkan golongan belia merangkumi kira-kira 58% daripada pengundi secara keseluruhan.

Kajian yang dijalankan oleh Merdeka Center bersama badan bukan kerajaan (NGO) Sisters In Islam itu dibuat dalam tempoh dari 30 Oktober 2021 hingga 25 Januari 2022.

Seramai 1,216 responden dalam lingkugan umur antara 15 hingga 25 tahun yang terdiri daripada kaum Melayu dan beragama Islam terlibat dalam sesi temubual secara bersemuka di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Mengikut data demografi Jabatan Perangkaan tahun 2022, seramai 12.2 juta orang berumur 18 hingga 40 tahun layak mengundi dengan 5.8 juta pemilih baru yang didaftarkan secara automatik selepas pengenalan Undi18.

Statistik tersebut meliputi semua kaum, jantina dan agama pengundi muda.

Kajian itu juga mendapati hanya 33% golongan muda Melayu minat berpolitik dan kepercayaan terhadap pentadbiran kerajaan berada pada kadar 69%.

Dalam pada itu, kajian itu mendapati mereka hilang minat terhadap cabaran dan isu politik dalam negara dengan 52% berpandangan negara berada dalam landasan yang salah.

Dalam satu sesi pembentangan dapatan kajian di Kuala Lumpur semalam, Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata peratusan tersebut menurun berbanding 66% percaya Malaysia berada dalam landasan yang betul untuk menjadi negara maju pada survei yang dilakukan pada 12 tahun yang lalu.

Kajian itu juga mengandungi soalan-soalan yang mirip daripada tinjauan yang dijalankan pada tahun 2010 melibatkan kelompok responden yang sama.

Dalam pada itu, Merdeka Center juga mengenalpasti kesukaran golongan belia dalam menangani isu-isu berbangkit selepas era pandemik Covid-19 terutamanya dalam aspek ekonomi dan pekerjaan.

Menurut Ibrahim, kebimbangan utama golongan itu meliputi isu seperti jaminan pekerjaan dengan 48% takut akan hilang kerja dan tidak mendapat pekerjaan.

Selain itu, antara kebimbangan yang turut dinyatakan adalah masalah berkaitan alam sekitar (43%), rasuah (40%), terlalu ramai pelarian dan imigran dalam negara (35%) serta kesihatan mental (30%).

“Pandangan yang diutarakan oleh belia dalam tinjauan baru-baru ini disebabkan pengalaman dan cabaran yang mereka hadapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk penyakit wabak, pergelutan ekonomi dan ketidaktentuan politik.

“Ini memberi kesan kepada keyakinan golongan muda terhadap masa depan dan pandangan mereka tentang arah serta hala tuju negara,” kata Ibrahim.

Tambahnya, masih ramai golongan belia Melayu yang ragu-ragu terhadap proses politik dan beranggapan ahli politik adalah bersifat “transactional” ataupun boleh dibeli.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Azmil Tayeb turut memerhatikan trend yang sama dalam kalangan pelajarnya universiti yang semakin hilang kepercayaan terhadap proses berpolitik.

Sebaliknya, kata Azmil, mereka mengalih cara berpolitik kepada gerak kerja sukarelawan dengan menganjurkan program dan aktiviti kemasyarakatan dengan rakyat setempat.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.