- Iklan -
Kandungan Berjenama

Belia B40 lega, dapat lesen motosikal selepas kerajaan tanggung kos

Dia berkata jika tidak, dia terpaksa menunggu lebih lama, untuk menjimatkan wang yang cukup untuk yuran.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Beberapa pelajar sedang berlatih memandu di sebuah institut memandu di Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Beberapa pelajar sedang berlatih memandu di sebuah institut memandu di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Nurul Hidayah Ali memilih profesion guru memandu selepas tamat persekolahan Tingkatan 6 di Batu Pahat, Johor 11 tahun lalu.

Kini, hampir setiap hari dia duduk di kerusi penumpang untuk memberi penerangan dan melatih pelajar memandu baru mendapatkan lesen idaman mereka.

Banyak pengalaman manis dan pahit sepanjang kerjayanya lebih sedekad itu.

Saat paling menggembirakan adalah apabila menerima ucapan terima kasih dan hadiah daripada pelajar sebagai tanda penghargaan menjadi guru di atas jalan raya.

Saat sedih adalah apabila dia  berdepan dengan beberapa masalah pelajar terutama isu kewangan.

Pelajar tidak cukup wang untuk meneruskan kursus lengkap hingga dapat  lesen memandu kereta atau motosikal.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Nurul Hidayah berkata, seorang pelajarnya yang berusia 18 tahun pernah merayu beberapa kali supaya bayaran yuran ditangguhkan sehingga wang yang dikumpulkannya daripada kerja sambilan mencukupi.

“Mereka tak tahu kita ni kerja bawah syarikat latihan memandu, kita tak boleh tunggu bila orang pejabat minta bayaran.

“Ada keluarga yang mampu, mereka akan bayar sekali sahaja dan selesai. Tetapi mereka yang tak mampu akan bayar secara ansuran, secara banyak kali hingga selesai ujian dan dapat lesen,” katanya sambil menambah dia pernah menggunakan duit gajinya untuk membayarkan dulu ansuran yuran pelajarnya itu.

Menurutnya, situasi itu sudah banyak kali berlaku malah sejak tahun pertama dia bekerja dan yang terbaru pada awal tahun lalu.

Bagaimanapun, tahun ini dia lega dan tidak lagi rasa bersalah apabila terdapat pelajarnya yang berdepan dengan masalah kewangan dalam proses mendapatkan lesen memandu.

Nurul Hidayah berkata, dia sudah diberikan taklimat secara lengkap oleh pengurus di syarikatnya mengenai bantuan khas yang diumumkan kerajaan untuk menampung perbelanjaan serta kos mendapatkan lesen memandu yang melibatkan pelbagai kategori.

Melalui Belanjawan 2023, Kerajaan akan menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2 kepada belia B40 yang tersenarai dalam rekod data e-Kasih melalui program MyLesen B2.

Sementara itu, menerusi Program MyPSV, kerajaan juga akan menanggung bayaran bagi mendapatkan lesen teksi, bas, motosikal dan e-hailing kepada mereka yang layak yang ingin menjana pendapatan.

Kerajaan melalui Tekun Nasional menyediakan peruntukan RM330 juta, termasuk RM10 juta bagi membantu belia daripada keluarga susah, untuk meraih pendapatan melalui perniagaan.

Golongan ini, katanya, diberi modal untuk memulakan perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal dan kerajaan bersetuju menanggung bayaran untuk mendapatkan lesen bagi jenis kenderaan tertentu.

Tidak perlu tunggu lama bantu keluarga

Dalam pada itu, seorang pemuda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengambil kelas dengan Nurul Hidayah meluahkan rasa syukur apabila ditawarkan untuk memohon bantuan di bawah program tersebut.

Adam Haris Rusyaidi berkata, ibunya seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai penjual sayur dan buah-buahan di pasar malam meminta dia untuk tunggu sehingga wang simpanan mencukupi sebelum mendaftarkan diri mengambil lesen.

Selepas menyemak kelayakan umum, dia mendapati dirinya layak memohon dan boleh dibantu dengan program tersebut.

Dengan cara itu, dia sudah menjimatkan lebih RM900 untuk mendapatkan lesen motosikal.

Jika layak dan memenuhi syarat asas program tersebut, dia cuma dikehendaki membayar sebanyak RM60 ketika datang buat pertama kali untuk berdaftar dan tidak perlu lagi membuat apa-apa bayaran selepas tamat kursus tersebut.

Ini kerana pihak sekolah memandu akan membantunya untuk menuntut kos yuran lesen itu supaya ditanggung oleh kerajaan.

“Selepas ni saya harap saya boleh bantu keluarga dengan lebih cepat sebab tak perlu tunggu duit simpanan cukup untuk dapatkan lesen motor. 

“Saya boleh dapatkan lebih awal melalui program bantuan kerajaan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Baginya, usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan tersebut membuatkan dia lebih berusaha untuk memanfaatkan lesen motosikal itu untuk mendapatkan kerja dan membantu keluarga.

“Tidak, saya tak cadang nak buat lesen kereta pula. Dah dapat lesen motor sudah cukup untuk dapat kerja di kawasan bandar.

“Bila dah bekerja barulah boleh beli kereta dan ambil lesen,” katanya.