- Iklan -
Kandungan Berjenama

Nasi lemak mesin layan diri jadi ‘penyelamat’ golongan muda di kota

Selain jualan nasi lemak yang murah, ianya juga cepat dan mudah untuk dibeli sebelum atau selepas kerja.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita berjalan melepasi mesin layan diri di Stesen LRT Cempaka yang disediakan Kementerian Ekonomi di bawah program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
Seorang wanita berjalan melepasi mesin layan diri di Stesen LRT Cempaka yang disediakan Kementerian Ekonomi di bawah program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Golongan belia yang bekerja di ibu kota terus memanfaatkan keberadaan mesin layan diri yang menjual nasi lemak serendah RM2 di beberapa stesen pengangkutan awam.

Jualan itu merupakan usaha di bawah program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) oleh Kementerian Ekonomi yang dilancarkan pada awal Mac lalu.

Bukan sahaja menawarkan harga rendah dan mampu milik, proses jualan itu pula bermula dengan penanam cili memberikan sedikit hasil tuaiannya kepada pengusaha B40 yang lain untuk menghasilkan sambal nasi lemak.

Kemudian, nasi lemak yang sudah siap dimasak akan dibungkus dan dijual melalui mesin layan diri.

Sehingga kini, barisan panjang masih kelihatan di beberapa stesen LRT sekitar Lembah Klang menandakan jualan nasi lemak itu masih mendapat sambutan orang ramai.

Di LRT Cempaka, beberapa anak muda dilihat membeli bungkusan nasi lemak sambil memasukkan beberapa helai duit kertas ke dalam mesin berkenaan.

Menurut seorang pembeli, Ruziana Azhar, 22, dia membeli dua bungkus nasi lemak dua kali sehari iaitu sebelum pergi dan pulang dari kerja.

Ini menjadikan sebanyak empat nasi lemak dibeli dalam masa sehari.

"Inilah makanan untuk sarapan, tengah hari dan makan malam saya.

"Murah dan mengenyangkan sebab malam-malam tak perlu keluar lagi cari makanan lain.

"Tinggal perlu panaskan sahaja," katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, dia kini sedang menjalani latihan industri di sebuah syarikat swasta perlu berjimat kerana masih bergantung dengan wang pinjaman pendidikan selain jumlah elaun yang rendah untuk menampung hidup di kota.

Atas sebab itu, jualan nasi lemak melalui mesin layan diri menjadi pilihan yang tepat untuk dirinya.

"Nak beli pun cepat, cuma beratur, pilih dan bayar."

Bercerita lanjut, Ruziana berkata dia turut perasan terdapat beberapa pengguna perkhidmatan awam tersebut membeli nasi lemak di mesin layan diri sebelum menaiki LRT ke tempat kerja.

Trend itu katanya, menunjukkan bukan sahaja dirinya yang suka membawa bekal makanan yang dibeli daripada mesin layan diri.

"Kalau balik kerja pun sama. Ada juga yang saya nampak beli (waktu) petang-petang balik kerja. Kadang-kadang (sampai) habis.

"Masa itu lah baru cari dan beli makanan lain," katanya.

Tinjauan MalaysiaNow baru-baru ini mendapati sambutan jualan nasi lemak RM2 itu melibatkan pelbagai kelompok rakyat termasuk pekerja warga asing.

Dalam pada itu, seorang wanita pertengahan umur mahu dikenali Hajar pula berharap inisiatif tersebut boleh diperluaskan lagi kepada beberapa lokasi lain termasuk di luar Lembah Klang.

Wanita berumur 57 tahun itu berkata dia hanya ternampak kewujudan mesin layan diri itu di beberapa lokasi tertentu khususnya di stesen LRT yang menjadi tumpuan ramai.

Katanya,setiap kali datang ke stesen LRT untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, matanya selalu terlihat beberapa orang sedang beratur dan membeli di mesin tersebut.

"Boleh jadi sebab nasi lemak sendiri dekat dengan masyarakat di Malaysia.

"Kalau tambah cawangan (mesin layan diri) ke universiti atau stesen bas lain pun baik. 

"Anak-anak orang lain juga boleh merasa," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.