Program MyPSV yang dilancarkan Kementerian Pengangkutan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini, bakal membantu golongan berpendapatan rendah (B40) mendapatkan Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).
JPJ dalam satu kenyataan berkata program itu disasarkan untuk memberi manfaat kepada 4,000 orang calon yang mana 3,500 orang adalah untuk PSV e-hailing atau teksi manakala 500 orang bagi PSV kategori bas.
Katanya, program hasil daripada inisiatif kerajaan itu dilaksanakan menerusi peruntukan RM2 juta seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2023.
Ia merupakan salah satu daripada inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan sebagai inisiatif untuk membantu rakyat terutamanya golongan B40.
"Peruntukan ini merangkumi kos ujian dan latihan kepada calon dengan kadar RM2,590 untuk setiap calon PSV bas manakala RM190 untuk setiap calon PSV e-hailing atau teksi," katanya.
"Program ini adalah antara usaha kerajaan membantu golongan B40 mempertingkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi gig."
Berdasarkan syarat yang ditetapkan, penyertaan program MyPSV hanya terbuka kepada warga tempatan berusia 21 tahun ke atas dan lulus pemeriksaan kesihatan.
Selain itu, calon juga mesti bebas daripada disenarai hitam oleh JPJ, polis atau mahkamah.
"Pemohon lesen vokasional PSV e-hailing atau teksi mesti memiliki lesen memandu kompeten (CDL) Kelas D.
"Pemohon bagi lesen vokasional PSV bas dan BTM melebihi 7,500 kilogram mesti memiliki CDL Kelas D sekurang-kurangnya setahun atau CDL Kelas E," katanya.
Mengulas lanjut, calon yang menyertai program MyPSV bas perlu menduduki kursus teori vokasional, latihan dan ujian praktikal di litar dan jalan raya manakala calon di bawah program e-hailing hanya perlu menduduki kursus teori.
“Inisiatif ini juga akan melahirkan pemandu kenderaan yang kompeten, selamat dan profesional bagi memenuhi keperluan pemandu dalam sektor pengangkutan awam.
"Melalui program ini, JPJ akan menyelaras senarai penerima bantuan kepada institut memandu dan pengendali e-hailing dengan kerjasama persatuan pengusaha bas serta agensi lain yang terlibat.”
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif-inisiatif lain di bawah Belanjawan 2023 yang boleh dimanfaatkan rakyat, layari https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat.