Nora Asiah Ahmad mengimbau kembali hari pertama dia melapor diri sebagai guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di sebuah sekolah dalam daerah Gombak, Selangor.
Ketika itu dia baru berusia 23 tahun dan belum berkahwin.
Bercakap kepada MalaysiaNow, ketika di peringkat awal bekerja, dia menerima banyak pertanyaan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan.
Kata Nora, mereka sering bertanya sama ada pendapatannya sebagai guru Kafa mencukupi untuk menampung perbelanjaan dan kelangsungan hidup sebagai orang bekerja di kawasan bandar.
Bagaimanapun, dia hanya menjawab semua itu bergantung kepada gaya hidup dan cara pengurusan wang masing-masing.
“Saya sedar sehingga kini ramai yang tidak memandang profesion kami sebagai guru Kafa.
“Gaji kami tak setinggi gaji guru-guru di sekolah.
“Tetapi kami tetap meneruskan bakti mendidik anak-anak murid menjadi Muslim yang baik,” katanya kepada MalaysiaNow.
Tambah Nora lagi, dia amat berbangga dan bersyukur apabila kerajaan mengumumkan kenaikan elaun mengajar guru-guru Kafa sebanyak RM100 daripada RM1,000 kepada RM1,100 dengan peruntukan tambahan lebih RM40 juta pada pembentangan Belanjawan 2023.
Katanya, pengumuman itu menunjukkan bahawa kerajaan amat menghargai dan menaikkan martabat dia dan rakan-rakan sejawatannya.
Melalui pembentangan Belanjawan 2023 pada Februari lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim merangkap menteri kewangan memberitahu bahawa pemberian tersebut melibatkan kira-kira 35,000 guru Kafa yang berdaftar di seluruh negara.
Imam dan Bilal tumpang gembira
Sementara itu, di Dengkil, sepasang Imam dan Bilal masjid menumpang rasa gembira atas pengumuman pemberian khas RM600.
Ini susulan pengumuman kerajaan dalam Belanjawan 2023 turut memberikan sumbangan khas sebanyak RM600 kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru Kafa dan guru takmir melibatkan seramai 70,000 orang.
Kata Muhamad Mustakim, semasa pandemik lalu, banyak aktiviti sosial dan program masjid ditangguhkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Peristiwa itu bukan sahaja menjejaskan jadual aktiviti tahunan masjid bahkan juga pendapatan mereka yang bergantung sepenuhnya kepada kegiatan di dalam dan luar masjid.
“Ceramah agama juga tak boleh diadakan ketika itu. Jadi imam-imam tak boleh datang memenuhi jemputan yang sudah pun dibuat beberapa bulan awal sebelum PKP.
“Ini tak termasuk lagi program tahunan yang sudah pun dikutip duit pendahuluan sebagai pendaftaran.
“Dengan inisiatif kerajaan ini, kami boleh membantu mengimarahkan kembali masjid dan bersemangat untuk terus berkhidmat sebagai orang masjid,” katanya.