‘Bila larut malam’ di Kuala Lumpur
Semua golongan baik tua atau muda meluangkan masa di Dataran Merdeka Kuala Lumpur untuk bersiar-siar dan menikmati keindahan kota.
Gambar oleh Djohan Shahrin
Bendera Malaysia berkibar ditiup angin malam menyambut orang ramai pelbagai kaum yang datang berkunjung ke Dataran Merdeka untuk menikmati keindahan kota Kuala Lumpur.
Penduduk Lembah Klang membawa keluarga dan anak kecil bersama untuk bersiar-siar di lokasi tarikan pelancong itu.
Pada waktu malam, jalan akan ditutup bagi memastikan keselamatan pejalan kaki dan pengguna skuter elektrik mini yang dilarang digunakan di jalan awam.
Lampu berwarna-warni skuter elektrik memeriahkan cahaya terang lampu pusat bandar memberikan suasana perayaan di sekitar Dataran Merdeka.
Jarum analog gergasi di bangunan Sultan Abdul Samad menunjukkan waktu hampir pukul 1 pagi, namun kemeriahan di Dataran Merdeka masih dirasai.
Anak kecil ceria dibawa beronda di sekitar Dataran Merdeka menggunakan skuter elektrik.
Orang ramai berbual sambil bersenda gurau memeriahkan suasana malam di tempat bersejarah itu.
Kehangatan malam yang meriah merancakkan perbualan anak muda di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad sehingga tidak sedar waktu sudah melewati pagi.
Sekumpulan kanak-kanak bermain lastik berlampu di padang Dataran Merdeka.
Seorang wanita membantu anaknya memilih pelbagai jenis mainan yang dijual seorang penjaja.
Pasangan kekasih turut bergembira bermain belon buih di padang Dataran Merdeka.
Penjaja melayani pelanggan yang tidak putus memesan makanan dan minuman panas.
Seorang penjual buah-buahan memasukkan asam dan lidi pencucuk ke dalam bungkusan buah sebelum menyerahkannya kepada pelanggan.
Seorang wanita mendodoi anaknya yang sedang tidur sambil menatal telefon di gerainya.
Dua wanita bersiar-siar dengan skuter mini elektrik di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad.
Sebuah keluarga menyeberang sungai berdekatan Dataran Merdeka.
Cuti hujung minggu adalah waktu untuk ibu bapa dan anak-anak meluangkan masa bersama menikmati keindahan kota Kuala Lumpur.