Kampung Baru: Kejiranan Melayu terakhir di tengah KL
Terletak di tengah pusat bandar Kuala Lumpur, Kampung Baru tetap mengekalkan tradisi Melayu walaupun kemajuan di sekelilingnya terus pesat membangun.
Gambar oleh Ahmad Sadiq Mohamad Sani
Kejiranan Kampung Baru yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur memberikan suasana kontras di pusat bandar yang dipenuhi bangunan moden yang mencakar langit.
Kanak-kanak bermain bola sepak di sebuah padang kecil dilatari pemandangan Menara Berkembar Petronas.
Seorang wanita, Mama Long berdiri di luar rumah ikoniknya yang dikenali sebagai Rumah Biru - menjadi salah satu contoh warisan yang terus dipertahankan penduduk Kampung Baru.
Mama Long bermain dengan seorang anak seorang pelawat yang mahu berbual dengannya. Dia tinggal di Kampung Baru sejak lahir pada tahun 1958.
Pelancong mengambil gambar di Pintasan Saloma di Kampung Baru, sebuah jambatan yang menghubungkan perkampungan Melayu itu dengan pusat bandar Kuala Lumpur.
Pelanggan sebuah warung menikmati hidangan di Kampung Sungai Baru yang menjadi tumpuan pekerja pejabat dan penduduk tempatan.
Di kawasan itu juga, sebuah flat bakal dirobohkan di bawah projek pembangunan semula.
Kebanyakan unit di flat tersebut telah dikosongkan penghuninya yang berpindah ke Kerinchi sejak 2018, menjangkakan pelaksanaan projek yang dirancang tersebut. Bagaimanapun, sehingga kini, tidak ada jentera yang digerakkan di tapak tersebut.
Seorang penduduk dikenali sebagai Roziah memegang sepucuk surat dari Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu yang mengarahkan supaya dia mengosongkan unit yang didudukinya bagi pelaksanaan projek pembangunan semula itu.
Namun sehingga kini, Roziah masih tinggal di rumahnya, dan menghabiskan waktu petang berbual dengan jirannya di Kampung Sungai Baru.
Unit-unit lain yang ditinggalkan oleh penduduk terbiar dalam keadaan menyedihkan, di mana wayar berjuntai dari siling selain lantai rumah dipenuhi sampah-sarap.
Sebuah sepanduk membantah pembangunan semula kawasan itu digantung di salah sebuah rumah penduduk di Kampung Sungai Baru.
Bangunan tinggi Setia Sky Residence melatari rumah-rumah tradisional di Kampung Baru.
Ketika senja menjelang, kedai runcit dan kedai gunting rambut mula menutup operasi sementara kedai makan mula didatangi pengunjung yang mahu menikmati makan malam.
Pelancong dari pelbagai tempat membanjiri kawasan itu untuk mendapatkan juadah tradisional Melayu dan makanan Barat.
Di beberapa restoran, orang ramai beratur sehingga melimpah di kawasan jalan untuk menunggu giliran meja makan.
Suasana malam Kampung Baru meriah dengan pelbagai restoran yang menyediakan pelbagai jenis hidangan menu.
Dengan pengunjung yang memenuhi ruang makan, pekerja sibuk melayan tetamu yang teruja untuk menikmati pesanan mereka
Sampai sahaja makanan di meja makan, sebuah keluarga duduk menikmati hidangan lazat yang disajikan.
Pintasan Saloma meriah pada waktu malam dengan hiasan lampu berwarna-warni dengan dilatari Menara Berkembar.
Pelancong yang bersiar-siar pada waktu malam turut meluangkan masa mengambil gambar di dalam terowong Pintasan Saloma.