Gelandangan bergelut dengan kanser
Pang Kam Chun, seorang pesakit limfoma yang terpaksa hidup di jalanan selepas menganggur. Lebih memburukkan apabila keretanya rosak sejak tiga minggu lalu.
Gambar oleh Djohan Shahrin
Pang Kam Chun berasal dari Serendah, Rawang. Lebih mesra dengan panggilan Ah Kok, lelaki berusia 48 tahun itu bergelut dengan penyakit berkaitan darah, yang dikenali sebagai kanser limfoma, sejak 2021.
Ah Kok terpaksa hidup di jalanan kerana menganggur. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat virus Covid19 dunia memberi kesan kepadanya, beliau tidak mempunyai sebarang pendapatan dan akhirnya gagal untuk membayar sewa rumah.
Sejak itu, dia tinggal di dalam keretanya, menjadikan kawasan hentian rehat di sepanjang lebuh raya sebagai rumahnya. Bagaimanapun, keretanya rosak tiga minggu lalu, menyebabkan dia tidak dapat bergerak.
Walaupun disahkan menghidap kanser tahap 3 pada Mac 2023, bukan penghalang untuk beliau tidak bekerja, beliau tetap berjuang dalam kehidupan namun terhalang akibat masalah pengangkutan. Dia memerlukan wang untuk membaiki keretanya dan menampung perbelanjaan perubatannya.
Sejak kebelakangan ini rakannya, Azhar sering berkunjung untuk melawatnya selepas mengetahui Ah Kok menghidapi penyakit dan tidak bekerja.
Azhar membekalkan Ah Kok bekalan makanan, termasuk mi segera, air botol, dan kadangkala nasi ayam bungkus.
Apa jua bantuan yang diterima, Ah Kok tetap berterima kasih kepada individu yang menyokong dan membantunya dalam masa sukar.
Ah Kok menjamah nasi ayam yang dibeli Azhar sambil ditemani seekor kucing terbiar. Dia kini menumpang teduh di belakang tandas kawasan rehat lebuh raya.
Selepas selesai makan, Ah Kok berkongsi sisa ayam dengan kucing jalanan.
Ah Kok meminta bantuan Azhar untuk menilai keadaan keretanya di sebuah bengkel. Kereta terpakai yang dibelinya dengan pengeluaran i-Sinar KWSP telah banyak membantu sepanjang hayatnya.
Di bengkel itu, Ah Kok dan Azhar bercakap dengan seorang mekanik, Arun, yang memberitahu mereka bahawa kereta itu perlu dikeluarkan kerana sudah terlalu lama tersadai dan ada kereta lain yang perlu dibaiki.
Ah Kok meminta Arun sedikit masa untuk mendapatkan dana untuk membaik pulih keretanya. Dia bimbang kereta itu akan dicuri jika dibiarkan, memburukkan lagi keadaannya.
Arun menjelaskan keadaan ruang di bengkelnya yang kecil dan meminta agar mempercepatkan penyediaan kos membaik pulih. Mereka cuba mencapai kata sepakat untuk kedua-dua pihak.
Sekembalinya ke kawasan rehat, Ah Kok mencari kucing terbiar yang menemaninya sejak dua tahun lalu.
Kucing jalanan ini menjadi terapi kepada Ah Kok, melepaskan lelah masalah yang ditanggung dan memikirkan untuk melangsaikan kos kerosakan keretanya.
Ah Kok mengambil kotak dan tikar yang disimpannya di belakang tandas awam. Penyakit yang dihadapinya membuatkannya cepat letih sepanjang masa, jadi dia perlu berehat.
Ah Kok meletakkan kotak itu di atas lantai dan membentangkan tikar sebagai tilamnya.
Di ruang belakang tandas ini Ah Kok menumpang untuk tidur, beliau juga tidak pasti selama mana dapat berada di sini. Pihak pengurusan lebuh raya pernah menasihatinya supaya tidak tidur di kawasan itu, tetapi dia hanya boleh memohon belas kasihan mereka, berharap diberi masa sehingga dia berjaya membaiki keretanya.