Kisah rakyat Malaysia bergelut kenaikan kos
Rakyat Malaysia melakukan apa yang terdaya ketika perbelanjaan harian terus meningkat.
Gambar oleh MalaysiaNow
Suri rumah Mariam Hassan, 42, menyusun buku sekolah bersama anak-anaknya, Nur Aisyah Mohd Affian, 14, dan Aus Ikhwan, 7. Buku teks dipinjam dari sekolah tetapi buku latihan adalah baru, dibeli menggunakan wang simpanannya. Mariam memperuntukkan kira-kira RM500 setiap seorang untuk menampung kos keperluan sekolah dan pakaian seragam.
Buku kerja sahaja berharga RM244 – dan Mariam masih belum memasukkan yuran PIBG dan pelbagai perbelanjaan sekolah yang lain.
Mariam mendapati sukar menguruskan kos sara hidup, dan terpaksa mengehadkan pembelian barangan runcit kepada barangan asas sahaja.
Pekerja swasta Musdana Musthafa mendapatkan barangan runcitnya dari sebuah kedai runcit di kawasan kejiranannya. Walaupun kadang-kadang lebih mahal, dia tidak mempunyai pilihan kerana kedai-kedai seperti ini paling dekat.
Setiap bulan memberikannya cabaran untuk mendapatkan seberapa banyak keperluan yang boleh, tetapi ia suatu yang sukar dicapai.
Normah Zakaria (kanan), 47, menjaga gerai kecilnya setiap hari dan selalu memikirkan bagaimana menyerap kenaikan kos ke dalam harga jualannya.
Selain minuman, dia juga menjual kuih pada harga RM2 sebungkus, dengan harapan dapat menampung perbelanjaan pada hari itu.
Mekanik Foo Weng, 51, tidak ada pilihan selain menaikkan harga perkhidmatannya bagi menampung kos bekalan dan peralatan yang kebanyakannya diimport. Bagaimanapun, dia terpaksa berbuat demikian walaupun memahami nasib rakyat biasa.
Lim Sek Hau, 43, yang bekerja dalam sektor pelancongan, memahami perjuangan harian memastikan makanan di atas meja, sehinggakan dia mengambil keputusan untuk tidak mendirikan rumah tangga.
Vijaya Rahavan, 55, juga mengusahakan kiosk kecil di tengah-tengah Kuala Lumpur, memberikan perkhidmatan seni inai untuk pelancong yang berkunjung ke Dataran Merdeka. Tetapi bilangan pelancong telah merosot, begitu juga perniagaannya yang merosot 20% dalam tempoh dua bulan lepas.
Pendapatan Vijaya sekadar cukup makan setiap hari, tanpa wang lebih untuk memenuhi kehendak kecil.
Pekerja Alam Flora dan ibu tunggal, Seevabgaiyam Kannapathy, 53, melakukan apa yang dia mampu untuk tiga anaknya. Dia masih berhutang kepada ah long sejak 15 tahun lalu dan rentetan hutang itu tidak pernah berakhir. Walaupun buku teks dan pakaian seragam anak-anak disediakan sekolah, masih ada banyak perbelanjaan lain.