Pasangan warga emas beraya di kaki lima
Zainab (bukan nama sebenar) dan suaminya bergelut untuk menyesuaikan diri sebagai gelandangan di Kuala Lumpur.
Gambar oleh MalaysiaNow
Selama enam bulan, Zainab dan suaminya tinggal sebagai gelandangan di Kuala Lumpur sejak dihalau dari rumah anak mereka di Kulim, Kedah.
Mereka menghabiskan hari-hari mereka dengan gelandangan lain, setelah habis simpanan dalam bank mahupun KWSP.
Kehidupan mereka sukar, tetapi ia satu-satunya yang dimiliki pasangan tua ini.
Suami Zainab ditimpa kemurungan, enggan bertemu dengan orang dan memilih menyendiri, dan kerap menghabiskan harinya berselindung di bawah payung dan kotak kadbod.
Payung menjadi rumah untuk melindungi mereka daripada hujan setiap petang.
Semak yang berdekatan dijadikan Zainab untuk menyimpan beberapa barang mereka.
Ketika cuaca buruk, dia dan suaminya berpindah ke kawasan berhampiran sebuah universiti swasta.
Sepanjang Ramadan, Zainab berjalan kaki setiap hari untuk membeli juadah berbuka puasa dari sebuah gerai.
Wang sumbangan insan yang bersimpati digunakan Zainab untuk membeli mee dari sebuah gerai di bazar Ramadan.
Zainab pulang ke 'rumah' dengan membawa makanan berbuka untuk dia dan suaminya.
Ada kalanya mereka terpaksa berendam dalam hujan lebat yang turun hampir setiap petang.
Suaminya gemar berjalan-jalan, mungkin menjadi terapi untuk kemurungan yang dialaminya.
Di atas lantai kaki lima sebuah bangunan berhampiran, Zainab dan suaminya berbuka puasa.
Mereka bersyukur dengan rezeki yang ada, namun masih teringat kehidupan yang lebih sempurna dulu.
Tiba malam, Zaleha duduk bercerita dengan suaminya, mengingat kembali kisah-kisah lama.
Pada waktu sahur, insan yang prihatin termasuk dari badan bukan kerajaan, datang membawa makanan.
Dengan payung yang disusun di sekeliling, akhirnya mereka dapat melelapkan mata.