Gelandangan di Kuala Lumpur
MalaysiaNow menyingkap kehidupan golongan gelandangan di bandar raya Kuala Lumpur.
Gambar oleh MalaysiaNow
Pasangan gelandangan ini berbaring di atas tikar di kaki lima Bangunan Cahaya Suria di Jalan Pudu, manakala barangan mereka yang tak seberapa disusun bersebelahan.
Di hentian bas Lebuh Pudu, seorang lagi gelandangan merehatkan badannya bertilamkan permukaan jubin.
Wanita berasal dari Indonesia ini termenung jauh di atas sebuah kerusi jalanan, wajahnya dimamah usia menyimpan cerita tersendiri.
Seorang wanita yang berlitup muka meminta sedekah daripada orang ramai, dan merupakan hanya salah seorang daripada watak serupa yang berlegar di sini.
Dengan hanya berseluar pendek tanpa memakai baju, lelaki ini duduk di jalanan meletakkan bekas di hadapannya dengan harapan orang ramai yang lalu lalang akan menghulurkan wang.
Dua lelaki ini menjadikan kaki lima sebuah bangunan komersial sebagai ruang rehat, dilengkapi kadbod dan selimut lama.
Ada gelandangan yang tidur tanpa mengira siang atau malam, cuba merehatkan badan dengan kesempatan yang ada.
Makanan percuma disediakan pertubuhan amal kepada miskin bandar menjadi sumber rezeki golongan gelandangan.
Apa sahaja bungkusan makanan yang diterima dimakan di atas laluan pejalan kaki, berlatarbelakangkan pencakar langit Kuala Lumpur.
Setibanya malam, komuniti gelandangan mula berkeliaran dalam kegelapan.
Dua wanita ini merantau dari Indonesia mencari kehidupan yang lebih baik, tetapi nasib malang yang menimpa memaksa mereka hidup gelandangan di negara orang.
Wanita berambut pendek ini pulang ke ruangnya di satu sudut kota selepas menghabiskan siang hari mengumpul barangan kitar semula untuk dijual.
Lebuh Pudu dipenuhi gelandangan di waktu malam, seperti di kaki lima sebuah restoran yang tidak lagi beroperasi ini.
Ruang kaki lima ini diminati gelandangan dan sesuai dijadikan tempat tidur, malah ada yang menghiasinya dengan patung beruang di satu sudut.
Gelandangan tidak mengenal warna kulit atau keturunan, yang menyatukan mereka adalah kisah hidup yang meletakkan diri mereka di jalanan.
Gelandangan menyimpan pelbagai kisah, ada yang ditinggalkan saudara-mara, yang menghidap sakit mental, bekas banduan cuba melakar kehidupan baru, mahupun yang merajuk dengan keluarga.
Ramai gelandangan muda merempat disebabkan keciciran pendidikan, kesukaran mendapat pekerjaan dan tiada keprihatinan keluarga.
Gelandangan warga emas ini hidup merempat sejak tujuh tahun lalu selepas kematian isterinya, dan pasrah menghabiskan sisa-sisa kehidupannya di jalanan.