Rosak tengah jalan? Hubungi pasukan Yusof
Minyak Hitam Jalanan yang diasaskan Mohd Yusof Mohd Noor memberikan bantuan kepada pengguna motosikal yang berdepan kecemasan jalan raya.
Gambar oleh MalaysiaNow
Mohd Yusof Mohd Noor mencetuskan idea Minyak Hitam Jalanan, dan membina satu pasukan yang membantu pengguna motosikal yang terkandas di jalanan.
Pemuda berusia 29 tahun dan ayah kepada dua anak ini melakukan tiga pekerjaan: menghantar makanan, membaiki motosikal dan menjual alat ganti motosikal secara dalam talian. Di sebelah pagi, sebagai seorang penghantar makanan, Yusof menunggu pesanan dari app e-hailing.
Di sebelah petang, Yusof memulakan khidmat servis motosikal di jalanan.
Perkhidmatan ditawarkan Yusof ini tercetus ketika 'lockdown' pandemik Covid-19 dulu, di mana pemandu e-hailing masih dibenarkan bekerja tetapi berdepan kesusahan mencari bengkel.
Yusof hanya belajar setakat Tingkatan 3, tetapi gigih melakukan pelbagai pekerjaan seperti menjual selipar di jalanan, berniaga ikan dan menjual durian. Kini, dia bekerja antara 12 dan 13 jam setiap hari untuk memastikan pendapatan yang stabil.
Yusof yang tidak ketinggalan menggunakan media sosial seperti TikTok, menyunting video promosinya ketika seorang pelanggan menunggu motosikalnya diservis.
Yusof menukar set rantai dan spoket sebuah motosikal Yamaha 155cc di Petaling Jaya, sambil telefonnya merakam video secara 'live' untuk TikTok.
Pekerja Yusof, Ahmad Haikal membaiki motosikal, meringankan beban pada hari sibuk.
Kebanyakan pelanggan Minyak Hitam Jalanan ialah pekerja e-hailing yang menggunakan motosikal dan mereka sangat mengenali pasukan Yusof.
Sejak tiga tahun lalu, Yusof menjadikan Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur sebagai lokasi aktiviti mingguan bersama rakan pasukan Minyak Hitam Jalanan.
Motosikal Yusof menjadi bengkel mini yang memuatkan pelbagai alat ganti.
Bekas posmen, Muhamad Nizam Zainon, antara yang menyertai Minyak Hitam Jalanan dan menjaga kawasan Klang dan Shah Alam. Nizam tidak melepaskan peluang dengan rakan lain di Jalan Raja Laut memberikan perkhidmatan servis motosikal.
Seorang pemilik motosikal menunggu pasukan Minyak Hitam Jalanan melakukan servis di tepi jalan.
Yusof berjaya menubuhkan pasukan yang bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan, tetapi juga membuat amal membantu penunggang motosikal yang terkandas di jalanan.
Keluarga Yusof sentiasa menjadi sumber inspirasi untuk terus berjaya.