- Iklan -
Berita

Pegawai Zuraida dedah dokumen projek rundingan terus libatkan syarikat, Guan Eng

Zuraida Kamaruddin mendedahkan dokumen yang disifatkan sebagai bukti tiada campur tangan menteri.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Nor Hizwan Ahmad, Setiuasaha Politik kepada Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, YB Zuraidah Kamaruddin bersama barisan Penggerak Komuniti Negara ketika hadir pada sidang media mengenai rundingan terus di Ampang Jaya.
Nor Hizwan Ahmad, Setiuasaha Politik kepada Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, YB Zuraidah Kamaruddin bersama barisan Penggerak Komuniti Negara ketika hadir pada sidang media mengenai rundingan terus di Ampang Jaya.

Setiausaha politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin mendedahkan dokumen yang disifatkan sebagai bukti tiada campur tangan menteri itu dalam projek rundingan terus ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Nor Hizwan Ahmad berkata, meskipun Zuraida berkhidmat sebagai menteri ketika tarikh surat projek rundingan terus itu dikeluarkan namun perbincangan hanya melibatkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dengan syarikat penyelia projek.

“Dalam surat ini sendiri, syarikat Bumi Segar Indah (BSI) dah maklumkan perbincangan sudah dibuat bersama bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.

“Tiada sedikit pun dakwat pen menteri (Zuraida) pada surat-surat ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Salinan dokumen yang dipegang Nor Hizwan sewaktu sidang media itu tidak diserahkan kepada media untuk siaran awam.

Sebelum itu, Lim mencabar menteri itu mendedahkan surat berkaitan satu daripada dua projek KPKT yang diluluskan secara rundingan terus ketika pentadbiran PH.

Lim mendakwa Projek Sisa Pepejal Taman Beringin (PSPTB) bernilai RM170.3 juta itu, hakikatnya dimohon sendiri KPKT kepada Kementerian Kewangan.

Beliau dilaporkan berkata ketua setiausaha (KSU) KPKT pasti ada menghantar surat permohonan projek rundingan terus itu pada 2018, memandangkan ia membabitkan peruntukan yang besar.

Bagaimanapun, Zuraida sebelum ini berulang kali menegaskan dua projek itu adalah di luar pengetahuannya dan mendakwa ia sebagai “kerja Lim Guan Eng.”

Mengulas lanjut, Nor Hizwan percaya tindakan Lim mendesak Zuraida mendedahkan dokumen tersebut untuk merosakkan imej dan perjalanan politiknya.

Ini kerana, sebanyak 101 projek rundingan terus yang didedahkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz di Parlimen, mengapa hanya projek melibatkan menteri itu sahaja yang diberikan perhatian.

“Kemeterian Pengangkutan dan lain-lain pun ada (projek rundingan terus). Kenapa diam?” katanya kepada MalaysiaNow selepas sidang media.

Terdahulu, Tengku Zafrul mendedahkan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion diluluskan secara rundingan terus ketika pemerintahan PH.

Antara dalam senarai itu adalah dua projek di bawah KPKT yang mana Zuraida juga sebagai menteri pada ketika itu, ialah PSPTB bernilai RM170,294,400 dan Sistem Perisian Perakaunan Century (RM501,206.37).

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.