- Iklan -
Berita

Dr Mahathir gembira Anwar tak jadi PM, kata bekas setpol

Ahli Dewan Negara itu berkata, bekas perdana menteri itu juga mahu mengekang kemaraan DAP yang berada dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada ketika itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Dr Mahathir paling gembira Anwar tak jadi PM. Gambar: MalaysiaNow
Dr Mahathir paling gembira Anwar tak jadi PM. Gambar: MalaysiaNow

Bekas setiausaha politik kepada Dr Mahathir Mohamad, Muhammad Zahid Mat Arip mengatakan bekas bosnya merupakan orang paling gembira kerana Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak menjadi perdana menteri.

Ahli Dewan Negara itu berkata, bekas perdana menteri itu juga mahu mengekang kemaraan DAP yang berada dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada ketika itu.

“Apa pun saya pasti, secara peribadi Dr Mahathir pastinya menjadi orang yang paling gembira dewasa ini.

“Cuma kegembiraan beliau itu tidak terzahir serta tidak terucap. Matlamat beliau yang tidak mahu Anwar menggantikannya dan serta matlamat untuk mengekang kemaraan DAP sudah pun tercapai dengan jaya,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Zahid juga menyifatkan peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri adalah ketentuan tuhan.

“Ramai yang bertanya kepada saya kenapa Dr Mahathir meletakkan jawatan?

“Jawapan saya, selain qada dan qadar, Allah SWT juga sudah menetapkan bahawa sudah tertulis sejak azali lagi peletakan jawatan Dr Mahathir adalah kerana rezeki Muhyiddin Yassin untuk menjadi perdana menteri Malaysia kelapan,” katanya.

Zahid turut menafikan tuduhan menjadi pencetus “Langkah Sheraton” yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH.

Bagaimanapun Zahid mengakui bersama pihak lain terbabit dalam gerakan menyekat Presiden PKR Anwar Ibrahim dan DAP serta mendakwa mendapat restu Mahathir yang ketika itu perdana menteri.

Zahid juga menafikan tuduhan menjadi pencetus kepada “Langkah Sheraton” yang menyaksikan kejatuhan PH.

Akan tetapi Zahid mengakui bekerjasama dalam gerakan untuk menyekat Anwar dan DAP serta mendakwa mendapat restu Dr Mahathir.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memperbetulkan tuduhan tidak tepat dan tidak benar sama sekali ke atas saya.

“Saya bukanlah pencetus kepada Langkah Sheraton. Tetapi, saya mengakui bersama beberapa teman yang lain terbabit menggerakkan langkah politik menyekat Anwar (Ibrahim) dan DAP dengan restu YAB perdana menteri Malaysia ketujuh.

“Selebihnya, ia sudah menjadi sejarah dan biarlah saya simpan demi hormat saya kepada Tun Dr Mahathir seorang negarawan terbilang dan ulung, yang jasanya kepada bangsa dan negara cukup besar,” katanya ketika membahaskan ucapan menjujung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong sempena persidangan Dewan Negara hari ini.

Pada 5 Mac lalu, bekas Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa Zahid menjadi dalang yang mengatur pertemuan pemimpin parti politik di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, pada 23 Februari lalu.

Syed Saddiq berkata, beliau sendiri turut diminta menghadiri perjumpaan itu yang kononnya diarahkan Dr Mahathir.