- Iklan -
Berita

Mahkamah tolak permohonan 33 Adun cabar pembubaran DUN Sabah

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim yang juga dianggotai Hakim Abu Bakar Jais dan Hakim Supang Lian, turut menolak permohonan 33 Adun berkenaan bagi penangguhan pelaksanaan keputusan hari ini sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Mahkamah Rayuan menolak permohonan 33 Adun untuk cabar pembubaran DUN Sabah. Gambar: Bernama
Mahkamah Rayuan menolak permohonan 33 Adun untuk cabar pembubaran DUN Sabah. Gambar: Bernama

Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan dikemukakan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim yang juga dianggotai Hakim Abu Bakar Jais dan Hakim Supang Lian, turut menolak permohonan 33 Adun berkenaan bagi penangguhan pelaksanaan keputusan hari ini sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Berikutan keputusan itu, pilihan raya negeri akan berlangsung seperti dijadual. Suruhanjaya Pilihan Raya  (SPR) menetapkan 12 Sept bagi penamaan calon dan pengundian pada 26 Sept.

Hakim Abdul Karim memutuskan Yang Dipertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin melaksanakan bidang kuasanya dengan betul mengikut Perlembagaan Sabah dalam membubarkan DUN.

Kesemua 33 Adun berkenaan, diketuai bekas Ketua Menteri  Musa Aman, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak permohonan mereka bagi semakan kehakiman untuk mencabar keputusan yang dibuat Yang Dipertua Negeri pada 30 Julai.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan selama dua hari bermula semalam yang dikemukakan oleh peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Adun berkenaan, Peguam Besar Negeri Sabah Brenndon Keith Soh mewakili Juhar; peguam Cyrus Das mewakili Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal dan kerajaan negeri; dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili SPR.

Musa dan beberapa wakil rakyat berkenaan hadir di mahkamah.

 

 

 

 

 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.